KUALA LUMPUR – Kabinet tidak harus menutup fakta yang terkandung dalam siasatan yang dibuat oleh Pasukan Petugas Khas terhadap buku bekas peguam negara ketika pentadbiran Pakatan Harapan (PH) Tan Sri Tommy Thomas.
Pengerusi Barisan Nasional Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, beliau menimbulkan kebimbangan tersebut kerana ada anggota Kabinet sekarang pernah menjadi anggota Kabinet ketika PH memerintah.
“Kita juga berharap Kabinet yang akan dibentangkan hasil siasatan tersebut dalam tempoh terdekat tidak berada dalam sebarang kedudukan untuk menutup fakta tertentu.
“Kebimbangan ini timbul kerana kita memahami sebahagian anggota Kabinet kerajaan campuran sedia ada adalah bekas anggota Kabinet kerajaan PH.
“Anggota Kabinet terbabit pernah 22 bulan bekerjasama dan `bermuafakat’ bersama Tommy, maka dikhuatiri mungkin ada perkara yang bagi mereka wajib diselindungi,” katanya.
Sementara itu Ahmad Zahid berkata, hasil siasatan terhadap buku itu wajar didedahkan kepada umum.
Beliau tidak mahu hasil siasatan berkenaan dipendam terlalu lama seperti yang berlaku ke atas siasatan melibatkan Hakim Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali.
“Jangan dipendamkan terlalu lama kerana dibimbangi kontroversi `di manakah kertas siasatan kes Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali’ boleh berulang.
“Laporan itu mustahak didedahkan kepada umum kerana rakyat Malaysia perlu mengetahui perihal sebenar membabitkan bekas Peguam Negara `lantikan politik’ tersebut,” kata Ahmad Zahid.
Laporan itu juga penting kerana ia berpotensi mendedahkan tentang isu pendakwaan terpilih yang berlaku semasa pentadbiran Kerajaan PH.
Selain itu menurut Ahmad Zahid, laporan itu juga berpotensi tentang kemungkinan berlaku campur tangan urusan kehakiman oleh seorang bekas Perdana Menteri untuk kepentingan politiknya.
Untuk rekod, Pasukan Petugas Khas itu ditubuhkan bagi membuat kajian awal berhubung dakwaan, termasuk isu pelantikan hakim, campur tangan melampau badan eksekutif dalam sistem kehakiman dan pendakwaan terpilih, yang ditulis dalam buku itu.
Buku bertajuk ‘My Story: Justice in the Wilderness’ yang ditulis Tommy mengundang kemarahan dan rasa tidak puas hati pelbagai pihak kerana disifatkan bertentangan dan melanggar sumpah jawatan.
Selain itu, buku terbabit turut menyentuh mengenai peristiwa 13 Mei 1969, yang didakwa ditulis dengan tidak bertanggungjawab tanpa mengira sensitiviti masyarakat, selain tuduhan terhadap bekas Perdana Menteri, Tun Abdul Razak Hussein. – MalaysiaGazette