Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

PUTRAJAYA – Kerajaan sekali lagi menegaskan aset Petronas yang dirampas waris Sultan Sulu di Azerbaijan bukan milik Kerajaan Malaysia, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Beliau menegaskan, sebarang permohonan untuk mengiktiraf serta menguatkuasa aset itu dilihat sebagai suatu pencabulan proses mahkamah.

Katanya, percubaan terkini oleh pihak yang mendakwa waris Kesultanan Sulu untuk merampas aset yang didakwa milik kerajaan Malaysia di Belanda boleh dikatakan sebagai satu lagi tindakan mengambil kesempatan yang bertentangan dan melanggar dengan peraturan timbang tara dan norma di bawah Konvensyen New York dan The United Nations Commission on International Trade Law (UNCITRAL).

“Semalam, media melaporkan tindakan terkini pihak mendakwa sebagai waris Kesultanan Sulu yang telah mengemukakan permohonan bagi mengiktiraf dan menguatkuasakan perintah (Final Award) di Mahkamah Belanda terhadap aset-aset Malaysia di sana termasuk rangkaian aset milik Petronas.

“Pendirian kerajaan Malaysia bahawa perintah yang dikeluarkan oleh mahkamah di Paris pada Februari lalu adalah tidak teratur dan tidak mengikut lunas undang-undang.

“Tambahan pula, perintah yang diperoleh sekiranya dikuatkuasa boleh mengakibatkan ketidakadilan serta implikasi yang serius kepada kestabilan negara lain,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Media The Edge melaporkan, peguam yang bertindak bagi waris Sultan Sulu, Sultan Jamalul Kiram II difahamkan dalam proses mengemukakan permohonan kepada mahkamah Belanda untuk menyita aset milik Petronas.

Artikel yang merujuk kepada laporan sumber itu juga menyatakan aset yang terlibat mungkin bernilai berbilion ringgit.

Laporan itu menyebut, Paul Cohen, peguam bersama utama untuk waris sultan dari firma guaman British 4-5 Gray’s Inn Square, menerusi satu kenyataan memaklumkan pihaknya mengemukakan petisyen eksekuatur kepada Mahkamah Rayuan The Hague meminta keputusan timbang tara bertarikh 28 Februari 2022 diiktiraf di Belanda.

Menurut Wan Junaidi, perintah yang dikeluarkan oleh penimbang tara itu adalah tidak sah dan tidak mengikut norma atas beberapa sebab tertentu.

“Sebagai contoh, tindakan mengalihkan proses pengiktirafan dan penguatkuasaan perintah yang diperoleh daripada negara Sepanyol ke negara Perancis walaupun Mahkamah Agung Madrid mengisytiharkan pembatalan pelantikan Penimbang Tara dan prosiding susulan timbang tara.

“Bagaimanapun, pihak mendakwa waris Kesultanan Sulu tetap meneruskan usaha menguatkuasakan perintah di negara di mana Malaysia sedang melaksanakan tindakan sewajarnya.

“Sebagai tindakan balas, Malaysia meneruskan prosiding Mahkamah di Perancis dan Sepanyol untuk mengenepikan serta membatalkan perintah berkaitan,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan yakin penyelesaian prosiding Mahkamah tersebut akan menyebelahi Malaysia.

Selanjutnya, kata beliau, kerajaan telah memulakan strategi global yang proaktif untuk menghalang dan mengenepikan sebarang cubaan merampas atau campur tangan dalam urusan berkaitan aset Malaysia di luar negara oleh pihak mendakwa waris Kesultanan Sulu.

Dalam masa sama, kerajaan melaksanakan tindakan perundangan yang sama di Luxembourg dan akan mengambil tindakan serupa di Belanda untuk mengenepikan dan menghalang sebarang percubaan oleh pihak mendakwa waris Kesultanan Sulu bagi menguatkuasakan serta memperoleh faedah daripada perintah yang dikeluarkan mahkamah.

“Malaysia menghormati dan bangga menganggotai Konvensyen New York. Namun, Malaysia tidak akan sama sekali bertolak ansur atau tunduk kepada mana-mana pihak yang memanipulasi dan menyalah guna sistem sedia ada demi kepentingan peribadi.

“Justeru, Malaysia akan terus mempertahankan kedaulatan dan asetnya di luar negara,” tegas beliau. – MalaysiaGazette