Lokman DAP
Ti Lian Ker

KUALA LUMPUR – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) berharap tidak dipinggirkan dalam Bajet 2023 yang akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada 7 Oktober ini.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ti Lian Ker berkata, ini kerana belia dan sukan melibatkan jumlah komuniti yang besar di mana peruntukan sewajarnya daripada kerajaan amat diperlukan.

Beliau berkata, sebelum ini pihaknya memahami tumpuan mungkin lebih diberikan kepada aspek kesihatan untuk menangani pandemik Covid-19.

“Namun sekarang sudah tiba masanya memberi tumpuan kepada aspek lain termasuk pemerkasaan belia. Mereka ini adalah modal insan negara dan tiang negara pada masa depan.

“Komuniti belia dan sukan kita besar, jadi ia semestinya memerlukan suntikan dana yang tinggi. Dari aspek kementerian, kami perlu mengadakan program-program yang berstruktur di mana ia memerlukan perbelanjaan dan perancangan lebih rapi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Program Sesi Teh Tarik Santai bersama Editor Media di Institut Sukan Negara (ISN) di sini hari ini.

Sementara itu, Lian Ker turut memberitahu, kementeriannya mensasarkan seramai 4.5 juta orang terbabit pada Hari Sukan Negara yang bakal berlangsung 8 Oktober ini.

“Di peringkat kebangsaan sahaja, pihak kementerian menyasarkan 1.3 juta penyertaan. Pelbagai aktiviti akan berlangsung sepanjang Hari Sukan Negara,” katanya. – MalaysiaGazette