HELSINKI – Finland menjadi jiran terakhir yang menutup sempadannya kepada pelancong Rusia mulai hari Jumaat.
Poland, Estonia, Latvia dan Lithuania semuanya menutup sempadan mereka kepada pelancong Rusia sejak awal bulan ini.
Tetapi rakyat Rusia masih dibenarkan melawat keluarga atau bekerja dan belajar di Finland, kata Menteri Luar Negeri..
Keputusan itu dibuat selepas bilangan warga Rusia yang tiba di sempadan meningkat berikutan panggilan 300,000 anggota simpanan tentera oleh Presiden Vladimir Putin.
Barisan manusia terbentuk di sempadan ketika orang ramai cuba melarikan diri, termasuk di sempadan Rusia ke Georgia, yang tidak memerlukan visa untuk perjalanan.
Finland yang berkongsi sempadan 1,300 kilomer (800 batu) dengan Rusia dan menguatkuasakan visa juga melaporkan peningkatan orang ramai yang cuba menyeberangi sempadan berikutan mobilisasi separa.
Bercakap pada sidang media pada hari Khamis, Menteri Luar Finland, Pekka Haavisto memberitahu arahan mobilisasi itu mempunyai “impak yang ketara” terhadap keputusannya.
“Keputusan itu bertujuan menghalang sepenuhnya situasi semasa pelancongan Rusia ke Finland dan transit melalui Finland,” katanya.
Langkah itu berkuat kuasa pada tengah malam dan juga melarang warga Rusia dengan visa pelancong Schengen daripada memasuki negara itu.
Haavisto berkata, aliran masuk rakyat Rusia dilihat membahayakan hubungan antarabangsa Finland.
Rakyat Rusia yang melawat Finland kini perlu memohon visa terlebih dahulu di sebuah pusat di Rusia, dengan jemputan sama ada daripada kenalan perniagaan atau peribadi.
Awal bulan ini, Kesatuan Eropah juga memutuskan untuk menjadikannya lebih mahal dan lebih sukar bagi warga Rusia untuk mendapatkan visa dengan menggantung perjanjian visa antara EU dan Rusia.
Lebih daripada sejuta rakyat Rusia telah mengembara ke negara-negara EU sejak pencerobohan Ukraine pada Februari lalu.
Dalam langkah berasingan, empat negara EU yang bersempadan dengan Rusia – Poland, Estonia, Latvia dan Lithuania pula mengenakan sekatan baharu dan mula menolak pelancong Rusia.
Norway juga mempunyai sempadan yang pendek dengan Rusia dan ia bukan dalam EU, tetapi merupakan sebahagian daripada kawasan perjalanan Schengen, bermakna rakyat Rusia dengan visa akan dapat melakukan perjalanan seterusnya ke 25 negara Eropah lain dalam blok itu.
Bagaimanapun, perjanjian perjalanan tanpa visa yang telah lama wujud dengan Rusia telah digantung oleh Norway minggu lalu.
Norway juga telah melaporkan sedikit peningkatan dalam lintasan dari Rusia di pusat pemeriksaan tunggalnya, Storskog berikutan pengumuman mobilisasi Putin. – Agensi