KUALA LUMPUR – Hospital Kuala Lumpur (HKL) muncul hospital kerajaan yang pertama menyediakan perkhidmatan pembedahan penggantian sendi lutut dan pinggul secara robotik kepada pesakit osteoartritis.
Malah, HKL melakar kejayaan melakukan pembedahan penggantian sendi dengan bantuan robot.
Menurut Pakar Bedah Ortopedik di Unit Penggantian Sendi, HKL, Dr G. Kunalan, sehingga kini, sebanyak 21 pembedahan telah berjaya dilakukan untuk membantu pesakit osteoarthritis.
Menurut beliau, pusat perubatan tersebut telah menggunakan sistem robotik termaju iaitu ROSA Knee System dari Amerika Syarikat untuk melakukan prosedur tersebut yang mengambil masa hanya satu jam 30 minit.
Katanya, dengan bantuan robot ia sedikit sebanyak membantu dan memudahkan pakar untuk melaksanakan sesuatu pembedahan.
“Pembedahan penggantian sendi dengan bantuan robot membolehkan pakar bedah merancang pembedahan menggunakan data prapembedahan daripada imbasan CT dan X-ray.
“Ia juga membantu pakar bedah melihat dengan lebih jelas dan meminimumkan pemotongan,
“Sistem robotik itu menyediakan model tiga dimensi (3D) hasil imbasan CT yang dibuat khusus ke atas pesakit bagi menggantikan lutut, sekali gus memudahkan pakar bedah untuk merancang prosedur lebih awal dan membolehkan perancangan saiz dan penjajaran implan yang tepat,” katanya.
Beliau berkata demikian pada taklimat bersama media bagi pembedahan robotik penggantian sendi pertama di hospital Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sempena 1st National Robotic for Total Knee Replacement di Dewan Bedah Kompleks Pakar & Rawatan Harian, HKL di sini hari ini.
Osteoarthritis iaitu sejenis radang sendi yang mempengaruhi bahagian lapisan tulang rawan sendi lutut dan menyebabkan rasa sakit serta kesulitan untuk bergerak.
Ia merupakan salah satu masalah artritis atau radang sendi yang berlaku dalam tubuh manusia.
Seperti kebanyakan penyakit lain, risiko mendapat artritis akan meningkat seiring peningkatan usia.
Bahkan, mereka yang berdepan masalah ini terutama pesakit osteoarthritis mengalami tahap keterbatasan pergerakan dalam kehidupan seharian.
Menerusi penyelesaian terkini untuk memperbaiki masalah ini adalah dengan menjalani pembedahan penggantian sendi menyeluruh terutamanya pada bahagian seperti lutut.
Anggota tubuh pesakit yang hendak dibedah akan diletakkan pada bahagian robot dan tangan robotik akan melakukan pembedahan dengan seliaan pakar bedah.
Kunalan menambah, sistem baharu itu menjadi revolusi keupayaan unik untuk memberikan pesakit pengalaman pembedahan tersendiri serta disesuaikan dengan keperluan dan anatomi mereka.
“Dengan menggunakan teknologi ini, kami dapat memastikan penempatan implan yang lebih tepat dan melakukan pembedahan yang berjaya dengan kesan invasif minimum.
“Ini membolehkan pesakit kurang mengalami kesakitan selepas pembedahan dan berupaya untuk pulih dengan lebih cepat,” jelasnya.
Terang Kunalan, pembedahan boleh mengundang pelbagai risiko, namun pembedahan dengan bantuan robot membantu meminimumkan risiko memotong tulang secara berlebihan atau terkena struktur penting.
Jelasnya, biarpun menggunakan robot, sentuhan seseorang pakar dalam pembedahan itu tetap diperlukan.
“Pakar bedah adalah orang yang akan membimbing tangan robotik ke zon yang betul dan melakukan pembedahan tisu lembut kerana itu merupakan kepakaran kami.
“Kami menggunakan robot untuk memastikan ketepatan dan keselamatan pesakit,” jelasnya.
Gunalan memberitahu, menambah, pembedahan dengan bantuan robot tersebut membolehkannya melakukan pembedahan secara lebih cepat dengan ketepatan lebih tinggi.
“Ini dapat mengelakkan kesilapan yang berpunca daripada pandangan mata kasar serta mengurangkan keletihan. Ia juga membolehkan pakar bedah merangka kerja mereka secara khusus mengikut keperluan pesakit sebelum pembedahan dan membolehkan pengesahan intraoperatif yang tepat diterjemahkan kepada jangka hayat implan itu,” terangnya.
Jelas Gunalan lagi, secara umumnya tujuan penggantian sendi secara menyeluruh dilakukan bagi menambah baik kualiti hidup pesakit supaya mereka tidak lagi menderita kesakitan kala melangkah.
Ujarnya, kaedah pembedahan penggantian sendi dengan bantuan robotik itu juga membolehkan pesakit kurang parut, kehilangan darah yang minimum dan lebih cepat sembuh untuk kembali melakukan aktiviti harian mereka.
“Selain itu, dengan bantuan robotik ini juga dapat mengurangkan jumlah hari pesakit harus duduk di hospital di mana seawal dua hari pesakit sudah boleh balik ke rumah.
“Dalam masa yang sama pembedahan robotik ini juga membantu ketepatan dalam meletakkan peralatan penggantian sewaktu pembedahan dan sekali gus peralatan ini dapat bertahan untuk jangka masa panjang sehingga 30 tahun,” katanya sambil memberitahu kos rawatan menggunakan robotik itu dianggarkan RM7,500.
Ketika ini robot bernilai RM3 juta sehingga RM6.5 juta itu adalah pinjaman daripada sebuah syarikat swasta yang diterima pada Julai lalu untuk digunakan bagi tempoh setahun.
Justeru, Gunalan berharap robot itu untuk digunakan untuk menjalani pembedahan dan sebagai latihan di empat hospital utama iaitu HKL, Hospital Umum Sarawak, Hospital Sultanah Bahiyah di Alor Setar, Kedah dan Hospital Raja Perempuan Zainab II di Kota Bharu, Kelantan.
– MalaysiaGazette