Datuk Prof. Dr. Kasim Md. Mansur

KUALA LUMPUR – Datuk Prof. Dr. Kasim Md. Mansur dilantik sebagai Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang baharu berkuat kuasa sejak 3 Oktober 2022.

Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dalam satu kenyataan hari ini berkata, berdasarkan reputasi kepimpinan institusi yang dimiliki, Kasim mampu membentuk jaringan hubungan kerja yang harmoni dengan semua pemegang taruh berkepentingan khususnya di  Sabah.

“Kementerian yakin beliau mampu meneraju UMS sebagai salah sebuah universiti pilihan di peringkat nasional seterusnya melonjakkan kecemerlangan akademik secara keseluruhan.” kata kenyataan itu.

Kasim, 61, merupakan anak kelahiran Sabah dan berkelulusan Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Pentadbiran Perniagaan dan Ijazah Sarjana dalam bidang ekonomi dari Indiana State University, Amerika Syarikat (AS).

Beliau kemudiannya melanjutkan pengajian ke peringkat Ijazah Kedoktoran dalam bidang yang sama di University of Wisconsin, AS.

Kasim pernah menjawat jawatan sebagai Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMS selama lima tahun dari 2019 hingga 2014.

Pada peringkat Negeri Sabah, beliau memberikan sumbangan yang signifikan kepada rakyat Sabah sebagai Ahli Majlis Penasihat Ekonomi Sabah dan Ahli Lembaga Institute For Development Studies Sabah.

Dalam pada itu, KPT turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Datuk Prof. Dr. Taufiq Yap Yun Hin atas jasa bakti beliau menerajui UMS sebelum ini. – MalaysiaGazette