Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin bercakap kepada media semasa meninggalkan Menara Dato' Onn selepas menghadiri Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi UMNO di Pusat Dagangan Dunia (WTCKL), Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 30 SEPTEMBER 2022.

KUALA LUMPUR – Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO pada malam ini membincangkan secara mendalam tentang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Perkara itu diakui oleh naib Presiden parti itu, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Bagaimanapun, katanya, UMNO menerima hakikat penentuan tarikh pilihan raya merupakan budi bicara Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

“Memang kita berbincang mengenai pilihan raya secara mendalam dan kesediaan dan kekuatan parti sedang diukur.

“Kita akui ia (tarikh PRU) budi bicara Perdana Menteri. UMNO menghormati perkara itu,” katanya ditemui selepas mesyuarat MKT di ibu pejabat parti itu malam ini.

Mengulas lanjut,  Khaled berkata, UMNO sentiasa bersedia untuk berhadapan dengan PRU-15.

Dalam pada itu, salah seorang Ahli MKT UMNO, Datuk Zahidi Zainul Abidin pula berkata, mesyuarat pada malam ini mencadangkan agar Parlimen dibubar pada tahun ini juga.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Zahidi Zainul Abidin bercakap kepada media semasa meninggalkan Menara Dato’ Onn selepas menghadiri Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi UMNO di Pusat Dagangan Dunia (WTCKL), Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 30 SEPTEMBER 2022.

Namun beliau berkata, ia terpulang kepada Perdana Menteri dan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

“Cadangnya bubar tahun ini, itu yang MKT cadang tapi terpulang kepada Perdana Menteri dan Agong,” tambahnya.

Meskipun masih dalam ketidaktentuan tempoh pilihan raya, namun Zahidi berkata, persediaan UMNO kini berada di tahap pecutan terakhir.

“Sebab tidak ada tarikh bubar, jadi kita rasa kita perlu meletakkan gear 5 yang presiden (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) nak kita gear 5, jadi kita bersedia untuk bila-bila masa kita takut Parlimen bubar (bila-bila masa),” katanya lagi. 

Ahli MKT juga kata beliau masih berharap agar kerjasama parti itu dengan Pas dapat diteruskan. -MalaysiaGazette