Panel Program Bicara Pemikir Negara yang bertajuk Bangsa Malaysia Dari Perspektif Generasi Baharu, anjuran Majlis Profesor Negara.

KAJANG – Parti-parti politik sepatutnya meletakkan kegilaan untuk membantu rakyat yang bakal berdepan dengan situasi banjir dan bukannya “gila” untuk mahu pilihan raya diadakan pada musim itu.

Pandangan itu dilontarkan Pensyarah Fakulti Industri Kreatif, Universiti Tunku Abdul Rahman, Dr Charanjit Kaur Darshan Singh apabila memberitahu, ahli-ahli politik perlu membantu agensi-agensi kerajaan yang bakal terlibat dalam misi membantu rakyat dengan menyediakan pelan tindakan yang sesuai.

Dr. Charanjit Kaur Darshan Singh

Ini kerana katanya, sejak dari awal ramalan mengenai bencana itu telahpun diuar-uarkan oleh pihak jabatan kaji cuaca dan satu pelan yang konstruktif dalam membantu jentera kerajaan boleh diwujudkan oleh parti-parti politik berkenaan.

“Bagi saya sekarang, kegilaannya bukan untuk PRU tetapi kegilaan untuk membantu mereka (yang terbabit banjir)…kita dah lihat  macam mana yang berlaku pada Disember tahun lepas.

“Mereka kena melihat macam mana nak bantu orang tidur atas lantai, tak dapat makan.

“Jadi, kita sebagai rakyat patut menyuarakan perkara yang betul tentang apa yang penting daripada membiarkan orang-orang politik terus dengan kegilaan mereka mahu mengadakan PRU,” katanya.

Beliau bercakap kepada media selepas Program Bicara Pemikir Negara yang bertajuk Bangsa Malaysia Dari Perspektif Generasi Baharu, anjuran Majlis Profesor Negara (MPN) di sini, hari ini.

Prof Dr. Mansor Mohd Noor

Pandangan sama turut dilontarkan, Pensyarah Institut Kajian Etnik (KITA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr Mansor Mohd Noor, apabila menyifatkan ahli-ahli politik di Malaysia sudah “gila”.

Katanya, tidak kira sesiapa pun individu itu, mereka sepatutnya meletakkan sifat kemanusiaan melebihi segala-galanya dan bukan hanya mementingkan diri sendiri.

Tambah beliau, apa yang menghairankan ialah apabila pemimpin politik bercakap mundar-mandir sedangkan ada yang tersirat pada diri masing-masing.

“Saya rasalah sesiapa yang jadi ketua ni tak kira pensyarah ke, dalam kerajaan ke, ahli politik ke, peniaga ke, kita kena letak kemanusiaan, kita kena letak kebajikan.

“Kita kena letak sebenarnya rakyat itu…apabila kita meletakkan kepentingan kita yang bersifat peribadi di atas sifat jangka pendek, itu yang saya rasa rakyat kena bangkit untuk hentikan mereka bercakap pasal pilihan raya ni.

“Mereka (ahli politik) kata tolak PRU musim banjir, tapi mereka nak PRU ni bagai…bagi saya orang politik ni you are mad,” ujarnya.

Prof Madya Dr. Chin Yee

Sementara itu, Pensyarah Kajian Sosial Dan Polisi Tun Tan Cheng Lock, Prof Madya Dr Chin Yee Mun berkata, secara logiknya, PRU tidak sesuai diadakan ketika rakyat sudah mengetahui musim tengkujuh akan berlaku dalam masa terdekat ini

Katanya, jika PRU tetap diadakan, ia bukan sahaja menyusahkan rakyat sebaliknya turut akan menyusahkan parti-parti politik yang bertanding pada PRU tersebut.

“Secara peribadinya, saya tak bersetuju PRU diadakan ketika musim banjir ni,” tegasnya. – MalaysiaGazette