Orang ramai menyaksikan lokasi letupan bom di Pusat Pendidikan Kaaj yang mengorbankan 19 orang mangsa. Foto Twitter

KABUL – Sekurang-kurangnya 19 orang maut selepas berlaku serangan berani mati di sebuah pusat pendidikan di sini.

Jumlah yang cedera masih tidak dapat dipastikan, kata polis.

Letupan berlaku di pusat pendidikan Kaaj di kawasan Dasht-e-Barchi di barat bandar itu ketika para pelajar sedang membuat latihan untuk menduduki peperiksaan universiti.

Ramai daripada mereka yang tinggal di kawasan itu adalah daripada etnik minoriti Hazara, yang telah menjadi sasaran dalam serangan lalu.

Hazara adalah kumpulan etnik ketiga terbesar di Afghanistan.

Rakaman di TV tempatan dan dikongsi di media sosial menunjukkan situasi di hospital berdekatan, yang mana barisan mayat diletakkan di atas lantai.

Manakala di kawasan pusat tuisyen itu memaparkan runtuhan dan keadaan kerusi serta meja bertaburan.

Pusat Pendidikan Kaaj ialah sebuah kolej swasta yang mengajar pelajar lelaki dan perempuan.

Kebanyakan sekolah perempuan di negara itu telah ditutup sejak Taliban kembali berkuasa pada Ogos tahun lalu, tetapi beberapa sekolah swasta masih dibuka.

Setakat ini, tiada kumpulan yang mengaku melakukan letupan itu. – Agensi