KUALA LUMPUR – Datuk Pkharuddin Ghazali dilantik sebagai Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia (KPPM) yang baharu berkuat kuasa pada 23 September 2022.

Pkharuddin, 59, merupakan KPPM yang ke-19.

Beliau berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sains (Kepujian) pengkhususan dalam bidang Geografi dari Universiti Malaya memulakan perkhidmatan dalam dunia pendidikan pada 1 Ogos 1989 sebagai guru di Sekolah Menengah King George V, Seremban, Negeri Sembilan.

Dalam tempoh 33 tahun dalam perkhidmatan, beliau telah berkhidmat di pelbagai organisasi dalam KPM.

Antara jawatan yang pernah disandang beliau ialah Penolong Pengarah Sektor Penilaian dan Peperiksaan di Lembaga Peperiksaan, Pengetua di Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Semarak, Nilai, Negeri Sembilan.

Beliau juga pernah menjadi Ketua Sektor Penilaian dan Peperiksaan, Ketua Sektor Jaminan Kualiti, Timbalan Pengarah serta Pengarah di Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan, Pengarah Peperiksaan di Lembaga Peperiksaan dan Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia (Sektor Dasar dan Kurikulum).

KPM yakin Pkharuddin dapat menerajui perkhidmatan pendidikan serta meneruskan kesinambungan dalam memacu transformasi pendidikan dan meningkatkan lagi kualiti pendidikan negara ke tahap yang lebih tinggi demi masa depan generasi pewaris negara. – MalaysiaGazette