shaiful hazizy zainol abidin Mou REE sindiket
Shaiful Hazizy Zainol Abidin

KUALA LUMPUR – UMNO dan Barisan Nasional (BN) Kedah tidak menerima sebarang arahan daripada pucuk pimpinan berhubung ‘gencatan’ serangan terhadap Pas.

Pengarah Komunikasi BN Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata, gerak kerja penerangan dan pendedahan akan berjalan seperti biasa.

“UMNO dan BN akan buktikan bahawa kami adalah kerajaan menunggu untuk Kedah yang menawarkan penyelesaian kepada masalah rakyat dan pada masa yang sama mampu memeta perancangan baharu untuk negeri,” katanya dalam hantaran Facebook miliknya hari ini.

Beliau mengulas laporan Malaysiakini kelmarin yang memetik sumber bahawa UMNO mengarahkan tentera sibernya berhenti seketika daripada menyerang Pas.

Arahan itu didakwa dikeluarkan selepas pertemuan antara Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang pada 17 September lalu.

Sehubungan itu, Shaiful Hazizy menegaskan, UMNO dan BN bertekad akan menamatkan segala kekusutan, permasalahan dan onar yang sedang dibuat oleh kerajaan Pas Kedah, terutamanya yang melibatkan permasalahan air, ekonomi ‘kewayangan’ dan agenda kabur kerajaan negeri.

Beliau menambah, drama pengumuman dan manipulasi fakta yang berlaku di Kedah juga akan ditamatkan.

“Kami akan menamatkan era kerajaan ‘katak’ yang tidak berprinsip dan bermaruah. Kerajaan yang ada sekarang stabil disebabkan sumbangan katak politik yang mempunyai kecenderungan kembali melompat.

“Kami juga akan memelihara nama baik dan imej kerajaan, kerajaan yang bakal ditubuhkan nanti tidak akan semata-mata mencari konflik dan bergaduh demi menaikkan rating murahan,” jelasnya.

Shaiful Hazizy berkata, kerajaan yang bakal dibentuk oleh UMNO dan BN nanti akan memberi tawaran baharu kepada rakyat Kedah melalui Agenda Baharu Kedah meliputi semua aspek. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast