Mohd Puad Zarkashi

KUALA LUMPUR – Salah satu bukti kegagalan Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin menjalankan tugas sebagai Perdana Menteri apabila  tidak dapat menarik pelaburan daripada Emiriah  Arab Bersatu (UAE).

Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi medakwa, Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu telah melawat UAE pada Mac 2021 dan mengumumkan pelaburan besar negara itu di Malaysia.

Bagaimanapun, ia hanya sekadar pengumuman tanpa sebarang nilai pelaburan.

Sebaliknya UAE telah membuat pelaburan berjumlah RM270 bilion di Indonesia.

“Kegagalan besar Muhyiddin masa jadi PM ialah gagal membawa masuk pelabur asing ke Malaysia. Dia ke UAE pada bulan Mac 2021. Kononnya UAE akan melabur tanpa limit.

The sky is the limit. Bangga sekali sembang Muhyiddin kepada media Malaysia.

“Rupanya kosong. Sebaliknya Kerajaan Abu Dhabi melabur sebanyak RM270 bilion ke Indonesia dari 2020-2021. Muhyiddin malukan Malaysia,” katanya.

Puad berkata, pembatalan pelaburan oleh negara Arab yang kaya itu ekoran tindakan kerajaan pimpinan Pakatan Harapan membuat tuntutan terhadap syarikat UAE, International Petroleum Investment Company berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Malah tindakan Ketua Pesuruhjaya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada waktu itu, Latheefa Beebi Koya mendedahkan rakaman perbualan peribadi Datuk Seri Najib Razak dengan Putera Mahkota UAE turut memburukan hubungan dengan negara itu.

“Tujuannya untuk wujud persepsi duit 1MDB hilang dan dicuri oleh Najib. Sedangkan IPIC milik Abu Dhabi sanggup bayar balik.

“Bukan sahaja saman, tetapi Latheefa Koya SPRM dedahkan rakaman perbualan telefon peribadi Najib dengan Putera Mahkota Abu Dhabi. Tujuannya untuk memalukan Najib.

“Setelah rosakkan hubungan dua hala tiba tiba terhegeh-hegeh kejar pelaburan ‘The sky is the limit‘ dari UAE. Kosonglah jawabnya. Itulah bukti Muhyiddin PM gagal,” kata Puad.

Pada 10 Mac 2021 media arus perdana melaporkan, Muhyiddin berkata, UAE memberikan komitmen tinggi untuk menggandakan pelaburan dan perdagangan dua hala.

Menurut Muhyiddin, pemimpin UAE itu memberi petunjuk ke arah ‘kerjasama tanpa batas’ (the sky is the limit) dalam perkara yang dibincangkan membabitkan hubungan dua hala terutama pelaburan, perdagangan dan pendidikan.

Muhyiddin berkata, UAE menyatakan komitmen tinggi untuk meningkatkan nilai dagangan dua hala hingga lima kali ganda berbanding AS$3 bilion ketika itu.

Pada 30 mei 2019 media melaporkan, Kerajaan Malaysia memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Komersil di London untuk menangguhkan permohonan negara yang bertujuan mahu membatalkan penghakiman persetujuan membabitkan 1MDB dan dua syarikat Abu Dhabi.

Pada 8 Januari 2020 Latheefa mendedahkan sembilan klip rakaman audio mengandungi perbualan telefon termasuk antara Najib dengan Putera Mahkota UAE, Putera Sheikh Mohammed Zayed Al-Nahyan.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast