Ahmad Zahid Hamidi politik
Ahmad Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi tidak pernah berasa kecil hati apabila kemampuannya mengendalikan UMNO dalam keadaan yang parti yang lemah dan diasak musuh dari segenap penjuru dipertikaikan pihak tertentu.

Presiden UMNO dan Ahli Parlimen Bagan Datuk itu mengakui hakikat bahawa beliau merupakan satu-satunya presiden dalam keadaan parti itu tidak menguasai kerajaan.

“Ia sesuatu yang belum pernah disaksikan sebelumnya. Sukar untuk ramai pihak ketika itu meramalkan UMNO mampu bangkit tanpa kuasa.

“Syukur alhamdulillah, namun kerana kerjasama pimpinan dan ahli akar umbi yang ikhlas dan setia, kita membuktikan UMNO sebuah parti dengan asas yang kukuh,” katanya dalam hantaran Facebook miliknya hari ini.

Ahmad Zahid menambah, UMNO bangkit walaupun dalam serba kekurangan dan berdepan tekanan hebat sang penguasa yang berusaha membuat ‘pukulan terakhir’.

Ahmad Zahid berkata, pemimpin dan ahli akar umbi teguh bertahan dan menentang bersandarkan keyakinan dan kepercayaan terhadap makna perjuangan UMNO itu sendiri.

“Yakinilah segala kisah pengorbanan dan keazaman itu akan terus menjadi inspirasi terhebat mengiringi UMNO mencapai kebangkitan penuh pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) nanti.

“Insya-Allah banyak yang kita bersama ‘pelajari’ sejak 9 Mei 2018 telah menjadikan UMNO lebih memahami tentang segala-galanya.

“Bersama parti komponen Barisan Nasional (BN) yang lain kita akan membentuk sebuah kerajaan milik rakyat yang lebih jitu, saksama dan gemilang apabila tiba masanya,” katanya.

Beliau turut melahirkan setinggi-tinggi kesyukuran kerana menyaksikan kebangkitan UMNO selepas sejarah hitam Malaysia 9 Mei 2018 berlalu.

Ahmad Zahid berkata, selangkah demi selangkah, UMNO yang pernah tewas PRU-14 angkara pembohongan dan persepsi jahat musuh politik bangkit semula.

Menurut beliau, berkat keyakinan, kesungguhan dan kepercayaan, seluruh keluarga besar UMNO bersatu padu bersama mendepani memintas cabaran demi cabaran.

“Benar laluannya agak berliku. Dalam tempoh lebih empat tahun lalu, andai disingkap penuh ranjau menguji istiqamah serta kesabaran kita semua.

“Bermula dengan pembelotan, desakan bubar UMNO, pendakwaan terpilih, ancaman pendaftaran UMNO dibatalkan dan seumpamanya.

“Namun, alhamdulillah itu semua tidak pernah menjadi halangan kepada mereka yang setia kerana bagi kita, UMNO adalah parti keramat yang harus untuk kita bersama perjuangkan,” jelasnya.

Ahmad Zahid menegaskan, UMNO adalah rakyat dan rakyat adalah UMNO dalam pengertian sebuah perjuangan nan luhur demi agama, bangsa dan tanah air tercinta.

“Saksikan betapa UMNO yang pernah dinaratifkan sebagai sudah tiada dan lenyap, ‘innalillahi wainna ilaihi raajiun’ terus mara dengan penuh semangat juang sehingga hari ini,” katanya.

Beliau memberitahu, parti politik yang tidak pernah senang dan sakit hati dengan parti keramat itu sentiasa mendabik dada akan menggantikan UMNO selepas dipropagandakan sudah ‘berkubur’.

“Itu pun selepas mereka terlebih dahulu gagal untuk hijack dengan mengambil alih UMNO bagi diperkudakan untuk kepentingan politik mereka,” jelasnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast