Mercun serta bunga api bernilai RM400,000 yang dirampas polis dalam serbuan di Ipoh, Perak semalam.

IPOH – Dua lelaki tempatan ditahan sebelum polis merampas pelbagai jenis mercun dan bunga api dianggarkan bernilai RM400,000 dalam satu serbuan di sebuah rumah kedai di Tanjung Rambutan di sini, semalam.

Mercun serta bunga api tanpa permit itu ditemui sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh selepas menyerbu premis tersebut pada jam 5.30 petang.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Yusri Hassan Basri berkata, serbuan berdasarkan maklumat awam itu membawa kepada tangkapan dua lelaki berusia 29 dan 30 tahun.

Mohd Yusri.

“Hasil pemeriksaan lanjut pihak polis menemui 715 kotak pelbagai jenis mercun dan bunga api selain menyita sebuah lori.

“Siasatan awal mendapati kesemua mercun dan bunga api yang dirampas adalah disimpan tanpa permit di dalam rumah kedai berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan media, malam tadi.

Tambah Mohd Yusri, kedua-dua suspek direman selama empat hari bermula hari ini sehingga Isnin ini untuk siasatan lanjut.

Antara jenis mercun yang dirampas dalam serbuan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 8, Akta Bahan Letupan 1957.

Dalam perkembangan sama, Mohd Yusri meminta orang ramai menyalurkan maklumat kepada pihak polis berkaitan kegiatan menyalahi undang-undang sekali gus memastikan keselamatan dan ketenteraman awam terpelihara. – MalaysiaGazette