Khairul Dzaimee Daud

KUALA LUMPUR – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) telah meluluskan sebanyak 225,181 Visa Dengan Rujukan (VDR) sejak 1 Januari sehingga 30 September 2022.

Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, baki sebanyak 3,970 permohonan masih dalam proses kelulusan dan akan diselesaikan dalam masa tujuh hari bekerja.

Kelulusan VDR yang telah diberikan mengikut sektor ialah pembantu rumah asing 4,635; pembinaan 12,740; perkhidmatan 45,405; perkilangan 120,941; perladangan 32,171 dan pertanian 9,289.

Jumlah pekerja asing baharu yang masuk bagi tempoh itu seramai 101,502 orang.

Menurut beliau, jumlah pekerja asing sekarang seramai 1,244,400 orang.

Khairul berkata, JIM sentiasa komited untuk meningkatkan lagi kecekapan pengurusan pekerja asing di negara ini.

Majikan kini boleh membaharui PLKS atau permit kerja mereka melalui sistem e-PLKS dan JIM juga sedang melaksanakan secara pilot projek, inisiatif pengeluaran Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) secara digital endosmen melalui e-Pass yang membolehkan majikan mencetak sendiri permit pekerja-pekerja asing mereka.

JIM juga katanya, sentiasa terbuka untuk mengadakan dialog dengan semua pemegang taruh (stake holders) bagi meningkatkan lagi kecekapan pengurusan pekerja-pekerja asing di negara ini. – MalaysiaGazette