Sebahagian calon SPM SMK Bukit Jambul yang memperoleh keputusan cemerlang merakamkan gambar kenangan di sekolah tersebut hari ini.

LAPORAN terbaru yang dibentangkan oleh Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Prof. Datuk Dr. Husaini Omar menunjukkan bahawa 17% (20,732) calon gagal mendapat tawaran kali pertama ke universiti awam yang diumumkan pada 25 September 2022. Persaingan yang tinggi dalam kalangan 115,477 permohonan daripada calon lepasan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) atau setaraf menyebabkan ada di antara mereka yang tidak mendapat tempat.

Data menunjukkan bahawa sekurang-kurangnya tiga kali ganda jumlah permohonan diterima untuk memasuki universiti awam berbanding penawaran tempat. Laporan tersebut turut menyatakan bahawa permohonan sesetengah calon ditolak kerana tidak memenuhi syarat khas yang ditetapkan universiti awam atau kursus yang dipohon selain gagal sesi temuduga dan mendapat merit yang rendah.

Laporan tersebut membuka mata para belia yang ingin melanjutkan pelajaran ke peringkat tertiari pada masa hadapan, kejayaan anda dalam bidang akademik semata-mata tidak akan menjamin tempat di universiti awam. Belia pada masa kini perlu cemerlang dalam bidang akademik serta mempunyai merit yang tinggi, merit tersebut boleh diperolehi daripada aktiviti diluar kelas.

Justeru para belia perlu mula melibatkan diri bersama Pertubuhan Belia untuk membantu meningkatkan jumlah merit, penglibatan belia bersama Pertubuhan Belia mampu menambah pengalaman dan sijil yang diperlukan untuk meningkatkan tahap merit. Pengalaman belia bersama Pertubuhan Belia juga bakal memberi nilai tambah yang berbeza jika dibandingkan dengan calon lain (yang ingin memasuki universiti awam), sesetengah belia mungkin tidak mempunyai bakat dalam bidang sukan namun mereka dapat mengembangkan bakat diri dalam bidang kepimpinan atau kesukarelawanan bersama Pertubuhan Belia.

Laporan tersebut juga turut menyatakan bahawa belia yang gagal menempatkan diri ke universiti awam mempunyai pilihan untuk memasuki institut pengajian tinggi swasta (IPTS) yang turut menawarkan biasiswa dan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN). Walaupun universiti awam menawarkan pengalaman yang berbeza berbanding IPTS, namun pada peringkat akhir para belia hanya mahukan segulung ijazah untuk membuktikan keupayaan menamatkan pengajian.

Usaha dan daya untuk bergerak ke hadapan perlu disemat di dalam hati belia yang gagal ke universiti awam, walaupun anda gagal menyambung pengajian peringkat ijazah di universiti awam namun peluang masih terbuka untuk menyambung pengajian peringkat pasca siswazah di universiti swasta. Belia tersebut hanya perlu menamatkan pengajian peringkat ijazah di IPTS dan seterusnya mencari peluang menyambung pengajian peringkat seterusnya di universiti awam. Jalan kejayaan sentiasa terbuka jika anda terus berusaha.

Kesimpulannya kejayaan dalam kehidupan masih jauh untuk diukur, kegagalan menempatkan diri di universiti awam bukanlah tanda kegagalan hidup para belia. Kegagalan sebenar adalah apabila anda berhenti untuk memajukan diri dan hanya pasrah menerima nasib, usaha anda mungkin gagal mencapai objektif namun selagi anda berusaha meragut setiap peluang yang muncul di depan mata maka anda pasti memperoleh kejayaan lain di masa hadapan.

Oleh: Mohd Fauzi Fadzil
Exco Majlis Belia Malaysia (MBM)/Timbalan Pengerusi Biro Pendidikan MBM