Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Sadique bersama Pengarah Urusan AEON Big, Sheikh Farouk Sheikh Mohamed (dua kiri) ketika melancarkan gimik pelancaran pada Program Galeri Uniti Keluarga Malaysia Anjuran Kementerian Perpaduan Negara dan Aeon. Co. Bhd di AEON Big Bandar Tun Hussein Onn, Cheras, Selangor. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 01 OKTOBER 2022.

KUALA LUMPUR – Kementerian Perpaduan Negara (KPN) menjalinkan kerjasama dengan pusat beli-belah Aeon Co. (M) Berhad bagi meraikan kepelbagaian masyarakat majmuk di negara ini.

Menterinya, Datuk Halimah Mohamed Sadique berkata, Aeon dipilih kerana pasar raya itu memiliki pelanggan tetap dan ia memudahkan usaha mempromosi aspirasi Keluarga Malaysia bagi pengunjung yang hadir.

“Aeon sudah ada pelanggan mereka jadi setiap program kementerian lebih mudah disampaikan. Di pasar raya tidak mengenal kira golongan B40, M40 dan sebagainya kerana semua berkunjung tanpa lapisan,” katanya selepas merasmikan Program Galeri Uniti, di sini hari ini.

Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Sadique ketika bercakap pada sidang media. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 01 OKTOBER 2022.

Program Galeri Uniti adalah usaha penyatuan Keluarga Malaysia untuk rakyat menghargai kepelbagaian budaya, seni dan adat resam bagi menghayati nilai kebersamaan dalam kalangan masyarakat majmuk.

Jelas Halimah yang juga Ahli Parlimen Kota Tinggi, usaha tersebut memerlukan sokongan pihak swasta sebagai rakan strategik bagi memastikan setiap program yang dianjur mencapai matlamat ditetapkan.

Halimah berharap pelbagai program yang dalam perancangan kementeriannya dapat diteruskan agar integrasi perpaduan kekal subur walaupun negara berdepan dengan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dalam masa terdekat.

Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Sadique ketika membuat lawatan ke ruang pameran pada Program Galeri Uniti Keluarga Malaysia Anjuran Kementerian Perpaduan Negara dan Aeon. Co. Bhd di AEON Big Bandar Tun Hussein Onn, Cheras, Selangor. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 01 OKTOBER 2022.

Sebagai rekod, Program Galeri Uniti dilaksanakan di sembilan cawangan terpilih Aeon selama 10 hari sehingga 9 Oktober ini dengan menampilkan pelbagai aktiviti termasuk cita rasa menu pelbagai kaum dan busana etnik Keluarga Malaysia. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast