SHAH ALAM – Parti Bangsa Malaysia (PBM) mencadangkan agar tarikh pilihan raya akan datang ditetapkan bukan lagi menjadi teka-teki seperti mana berlaku ketika ini.
Presiden Penggantinya, Datuk Zuraida Kamaruddin berkata, partinya akan mengangkat agenda tersebut susulan kecelaruan politik masa ini hanya menyukarkan semua pihak membuat keputusan berkaitan ekonomi negara.
“Tiap-tiap hari tanya bila nak pilihan raya, tidak ada ketentuan, negara-negara maju telah mula menetapkan tarikh pilihan raya.
“Sudah tiba masanya PBM mengangkat agenda ini agar ada penetapan tarikh pilihan raya akan datang.
“Dengan adanya tindakan ini, mudah ahli politik, ahli perniagaan, pelabur, ekonomi dan pentadbiran kerajaan negara merancang dan merencana dengan baik, tidaklah bercelaru begini,” katanya di sini, hari ini.
Terdahulu Zuraida yang juga Ibu Bangsa Malaysia (IBM) berucap merasmikan Perhimpunan Agung Tahunan 2022 PBM di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC).
Dalam pada itu, PBM konsisten untuk mempertahankan kerusi yang dimenangi pada PRU14 lalu meskipun parti itu dalam proses untuk bersama Barisan Nasional (BN).
“Bagi PRU-15 akan datang pula, marilah kita pertahankan dulu apa yang ada ditangan kita, sekalipun kita akan membantu mana-mana gabungan lain yang mahu mencari jalan demi manfaat bersama,” katanya lagi. – MalaysiaGazette