Sebahagian penduduk Taman Kencana membawa plakad membantah cadangan projek MRT3 di kawasan penempatan mereka di Ampang hari ini.

AMPANG – Suara bantahan penduduk Taman Kencana di sini terhadap cadangan jajaran baharu projek Transit Aliran Massa 3 (MRT3) yang akan dibina di kawasan mereka sudah dihantar ke Istana Selangor.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Bantahan MRT3 Taman Kencana, Mohd Najib Mat Nor berkata, surat kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj diserahkan kepada wakilnya pada di Istana Kayangan pada 20 September lalu.

“Kini kita tunggu makluman sebarang perkembangan dari pihak baginda dan kerajaan negeri,” katanya semasa berucap pada perjumpaan bersama penduduk di Taman Kencana di sini hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Bantahan MRT3 Taman Kencana, Mohd Najib Mat Nor (kiri) semasa berucap pada perjumpaan bersama penduduk di Taman Kencana di Ampang hari ini

Dalam pada itu, katanya, wakil jawatankuasa berharap penduduk bersatu dalam perjuangan membantah cadangan jajaran MRT3 demi kebaikan bersama.

Pada hari ini juga wakil jawatankuasa penduduk juga telah membuat laporan mengenai bantahan mereka itu di Balai Polis Pandan Indah.

Sebahagian penduduk Taman Kencana membuat laporan polis terhadap bantahan projek MRT3 di kawasan mereka di Ampang hari ini.

Ia, kata Mohd Najib, sebagai satu formaliti yang diperlukan dalam usaha jawatankuasa bagi mengadakan bantahan.

Baru-baru ini wakil jawatankuasa juga mengadakan pertemuan dengan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Pandan, Datuk Leong Kok Wee dan timbalannya, Datuk Jamaluddin Ropa bagi meminta sokongan mereka.

Pihak jawatankuasa juga dalam proses bagi mengadakan pertemuan dengan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dalam masa terdekat.

Sebelum itu, penduduk Taman Kencana mahu kerajaan mengkaji semula hasrat mahu menjadikan taman mereka sebahagian projek MRT3 dan mahu kerajaan menggunakan cadangan alternatif sebelum ini yang tidak melibatkan penempatan penduduk. – MalaysiaGazette

BERITA BERKAITAN:

MRT1 dan 2 belum capai kapasiti kenapa sibuk nak buat MRT3?