Rafizi (tengah) semasa menghadiri sesi bantahan penduduk Parlimen Pandan terhadap MRT3 di Taman Kencana, Ampang malam ini.

KUALA LUMPUR – Projek Transit Aliran Massa 1 (MRT1) dan MRT2 belum capai kapasiti penggunaan penumpang kenapa kerajaan sibuk mahu melaksanakan MRT3?

Itu persoalan Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli mengenai cadangan jajaran MRT3 yang dijangka melibatkan beberapa penempatan di Ampang.

Beliau mendakwa kapasiti penumpang MRT terdahulu tidak sampai 40 peratus penumpang.

Menurutnya, isu MRT sebelum ini memang dibangkitkan sejak 2014 lagi dan berjanji akan membawa isu jajaran baharu MRT3 melibatkan kawasan penempatan di Ampang dalam masa terdekat supaya menjadi isu nasional.

“Pertama saya akan bawa soal MRT3 membabitkan Taman Kencana ke peringkat nasional dan akan tulis surat rasmi kepada kerajaan negeri dan APAD (Agensi Pengangkutan Awam Darat) dan MRT bagi mendapatkan penjelasan,” katanya semasa menghadiri sesi bantahan penduduk Parlimen Pandan terhadap MRT3 di Taman Kencana, Ampang malam ini.

Rafizi Ramli

Selain penduduk Taman Kencana, sesi yang sama turut dihadiri penduduk Taman Bakti, Angsana Hilir, Taman Maju Jaya, Pandan Indah dan Pandan Jaya.

Rafizi yang juga bekas Ahli Parlimen Pandan menambah, sekiranya mendapat bantahan ramai, beliau yakin projek yang membimbangkan ramai penduduk itu akan ditangguhkan.

“Biasanya kalau sudah jadi isu nasional, kerajaan dan pemimpin politik ini biasalah, mereka akan tarik hand brake sikitlah kita harap,” katanya.

Menurutnya, kerajaan perlu menangguhkan projek itu dalam keadaan kedudukan kewangan negara sekarang.

Beliau juga yakin Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari yang juga pimpinan PKR akan mendengar pandangan rakyat bawahan.- MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Isu jajaran baru MRT di Taman Kencana dibawa ke Majlis Tindakan Ekonomi – MB

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast