Abdul Hadi Awang Pas UMNO
Abdul Hadi Awang

KUALA LUMPUR – Tan Sri Abdul Hadi Awang menegaskan agenda perpaduan ummah yang diterajui olehnya perlu melibatkan parti-parti Melayu Islam – UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) serta pembabitan parti bukan ekstrem.

Presiden Pas berkata, mana-mana pihak yang menolak penyatuan ummah ini boleh dikira melampau terhadap usaha perdamaian dan akan dikeluarkan daripada pakatan perpaduan ummah.

”Adapun kumpulan Islam itu tidak hanya Pas dan UMNO sahaja tanpa Bersatu dan lain-lain. Begitulah juga tidak hanya Pas dan Bersatu sahaja tanpa UMNO dan lain-lain.

”Kalau hanya Pas dan UMNO sahaja atau Pas dan Bersatu sahaja, maka tidak memenuhi ciri-ciri perpaduan umat, dan hanya bertujuan politik yang terbatas dan tidak sempurna.

”Jika tanpa golongan bukan Islam yang tidak ekstrem pula, maka tidak terlaksana mesej Islam yang adil kepada seluruh manusia,” kata beliau yang mengulas penegasan Pas berhubung penyatuan ummaah.

Tambahnya, Pas wajib mengambil teladan daripada Sunnah Nabawiyyah dalam sirahnya dengan menjadikan agenda perpaduan umat Islam dan mesejnya kepada seluruh umat manusia bermasyarakat majmuk.

Menurut beliau, langkah ini bermula dengan perpaduan umat Islam yang memimpin dengan mengumpulkan semua kumpulan Islam daripada berbagai-bagai jemaah atau parti, kemudian disertai oleh kumpulan bukan Islam yang tidak ekstrem dalam konteks masyarakat majmuk. – MalaysiaGazette