pertengkaran mulut dua pemandu berakhir dengan pergaduhan saling menumbuk selepas kenderaan milik salah seorang menghalang jalan raya sehingga mencetuskan kesesakan teruk di persimpangan SK Sri Gombak 2, Batu Caves yang berlaku semalam sebelum ditularkan di media sosial.Ihsan pembaca.

KUALA LUMPUR – Polis menyiasat insiden dua individu bertumbuk berhampiran Sekolah Kebangsaan Sri Gombak 2, Batu Caves, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Gombak, Superintendan Noor Ariffin Mohd Nasir berkata, insiden tersebut dirakam oleh orang awam yang kemudian ditular di laman media sosial.

Tambah beliau, insiden itu tercetus daripada tindakan seorang pemandu yang menghalang laluan mengakibatkan jalan tersebut sesak teruk.

Ia menyebabkan pertikaman lidah tercetus antara dua orang pemandu yang berakhir dengan pergaduhan, ujarnya.

“Polis telah menerima laporan polis daripada salah seorang pemandu yang berusia 57 tahun mengenai kejadian pergaduhan itu.

“Kita kemudian mengesan satu video berdurasi seminit 11 saat yang tular di media sosial memaparkan pergaduhan itu yang membabitkan dua pemandu kenderaan di persimpangan jalan raya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut Noor Ariffin, kes disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan dengan sengaja menyebabkan kecederaan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai insiden itu diminta menghubungi pegawai penyiasat, Sarjan Nurul Syazleeyana Atarbacha di talian 018-9636942 atau 03-61262222. – MalaysiaGazette