Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bercakap kepada media selepas Perhimpunan Khas Warga NUTP Seluruh Negara di Pusat Pameran dan. Konvensyen Matrade, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 01 OKTOBER 2022.

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob masih berteka-teki mengenai tarikh pembubaran Parlimen bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Bercakap kepada media hari ini, Ismail Sabri berkata, dalam perbincangan lima pemimpin utama UMNO atau Top Five semalam beliau tidak meletakkan sebarang syarat bagi tarikh PRU.

Bagaimanapun Perdana Menteri berkata, beliau bersetuju dengan semua keputusan yang dibuat oleh ‘top five’ dan mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi UMNO malam tadi.

“Tak ada. UMNO kita ada top five, ada biro politik tak ada siapa yang beri sebarang syarat.

“Bila kita hendak buat pilihan raya dan ada asas yang kuat untuk kita percepatkan dan kita setuju secara bersama, Kita buat. Cuma tarikh tunggu pengumuman,” katanya ketika ditanya adakah beliau sebagai PM meletakkan sebarang syarat untuk PRU diadakan.

Ismail Sabri ditemui selepas menghadiri Perhimpunan Khas Bersama Dengan NUTP Seluruh Malaysia hari ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bergambar kenangan dengan guru-guru yang hadir selepas Perhimpunan Khas Warga NUTP Seluruh Negara di Pusat Pameran dan. Konvensyen Matrade, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 01 OKTOBER 2022.

Sehubungan itu Perdana Menteri meminta semua pihak supaya bersabar mengenai tarikh PRU-15.

“Kalau tahun lepas sudah tunggu, tahun ini tunggulah. Semalam dalam kenyataan Setiausaha Agung (Datuk Seri Ahmad Maslah) berkata tahun ini. Itu yang kita bincangkan tahun ini.

“Tunggu dulu. Semalam Ahmad Maslan sudah buat kenyataan jadi kita pakai kenyataan dia sebagai Setiausaha Agung sebab kita sudah putuskan bahawa jurucakap seorang sahaja iaitu Setiausaha Agung.

“Daripada dulu kita telah bercakap perlu percepatkan pilihan raya bukan semalam sahaja. Kita hendak kembalikan kepada rakyat untuk membuat penentuan untuk memberi mandat semula. Biar rakyat yang beri,” katanya.

Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO semalam membuat ketetapan supaya PRU-15 diadakan pada tahun ini.

Dalam kenyataan kepada media semalam, Ahmad berkata susulan keputusan MKT, Perdana Menteri akan mempersembahkan cadangan tarikh pembubaran Parlimen kepada Yang di-Pertuan Agong selaras dengan Perkara 40(1) Perlembagaan Persekutuan.

“Keputusan mesyuarat ini adalah berasaskan pendirian konsisten UMNO sejak dari awal untuk memulangkan mandat rakyat yang tertangguh akibat pandemik COVID-19, selepas runtuhnya kerajaan Pakatan Harapan (PH) kerana persengketaan dalaman politik sesama mereka.

“Justeru, semua jentera parti pada setiap peringkat diarah memuktamadkan segala persiapan dibuat sebelum ini bagi memasuki fasa pembubaran hinggalah tarikh PRU-15,” katanya ketika membacakan kenyataan media sejurus selesai mesyuarat itu.-MalaysiaGazette