Bakal Presiden Parti Bangsa Malaysia (PBM), Datuk Zuraida Kamaruddin berucap pada Perasmian Persidangan Agung Tahunan Pertama Parti Bangsa Malaysia (PBM) di IDCC Shah Alam, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 01 OKTOBER 2022.

SHAH ALAM – Ahli Parlimen Segamat, Datuk Seri Dr Edmund Santhara dan Ahli Parlimen Kuala Langat, Datuk Dr Xavier Jayakumar menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM), hari ini.

Perkara itu diumumkan Presiden Pengganti PBM, Datuk Dr Zuraida Kamaruddin pada Persidangan Agung Tahunan PBM 2022 selain dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari Negeri Sembilan bakal menyusul kelak.

“Saya juga ingin mengumumkan pada hari ini ada dua ahli Parlimen yang akan bersama dengan kita Insya-Allah.

“Tidak lain tidak bukan YB Segamat (Ahli Parlimen), Dr Edmund Santhara dan juga YB Kuala Langat (Ahli Parlimen), Dr Xavier Jayakumar.

“Dengan itu kita ada enam Ahli Parlimen dan Insya-Allah menyusul dua (ADUN) dari Negeri Sembilan,” katanya berucap ketika menangguhkan PAT2022 PBM di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC), di sini, hari ini.

Sementara itu, dalam sidang media berasingan, Zuraida yang juga Ahli Parlimen Ampang berkata, permohonan dua ADUN dari Negeri Sembilan sedang diteliti pihaknya sebelum membuat keputusan dalam masa terdekat.

“Dua lagi potensi dari Negeri Sembilan kita tengah meneliti sedikit perkara dan kita akan buat pengumuman nanti,” jelasnya.

Katanya, dengan kemasukan Santhara dan Xavier, PBM kini memiliki enam Ahli Parlimen

“Sekarang dua Ahli Parlimen baharu dan kesemuanya kini enam Ahli Parlimen yang bersama dengan kita,” katanya.

Sebelum ini, Zuraida berkata, PBM akan bertanding tujuh kerusi Parlimen dan tujuh kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) melibatkan calon penyandang.

Ketika ini, PBM ada enam ahli Parlimen iaitu Ampang (Zuraida), Tebrau (Steven Choong Shiau Yoon), Julau (Larry Sng Wei Shien), Silam (Datuk Mohamaddin Ketapi), Segamat (Santhara) dan Kuala Langat (Xavier) selain lima ADUN iaitu tiga dari Perak dan dua dari Selangor. – MalaysiaGazette