Dr. Radzi Jidin

PUTRAJAYA – Semua sekolah-sekolah di negara ini diingatkan merujuk pihak berkuasa polis terlebih dahulu sebelum mengeluarkan sebarang notis makluman atau peringatan sebarang insiden yang dikaitkan sebagai cubaan culik murid sekolah.

Menteri Kanan Pendidikan Datuk Radzi Jidin berkata, pihak kementerian telah mengeluarkan arahan kepada Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Pejabat Pendidikan (PPD) Daerah supaya segera mengeluarkan peringatan itu kepada sekolah di bawah pentadbiran masing-masing.

Beliau berkata, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sedia maklum ada sekolah tertentu yang telah mengeluarkan notis peringatan berkaitan dakwaan cubaan culik murid sekolah sepertimana tular di media sosial.

“Dalam konteks ini kita dapati peringatan itu telah menimbulkan kerisauan dalam kalangan ibu bapa murid itu.

“Niat pihak sekolah berkenaan mengeluarkan notis sebegitu mungkin baik (lindungi keselamatan murid), untuk mengingatkan ibu bapa agar sentiasa berwaspada, namun pada masa yang sama boleh menimbulkan kerisauan dalam kalangan ibu bapa.

“Sebab itu, kita telah mengingatkan JPN dan PPD supaya mengingatkan sekolah kawasan masing-masing sebelum mengeluarkan sesuatu surat, notis peringatan ini kena rujuk dulu kepada pihak polis khususnya berkenaan keselamatan dalam kawasan sekitar (kesahihan insiden dakwaan culik) untuk mendapatkan kesahihan sesuatu insiden itu.

“Kita tak mahu nanti notis yang dikeluarkan oleh sekolah itu mencetuskan kerisauan yang tidak berasas penduduk, bukan sahaja depan sekolah tetapi dalam kawaan sekitar itu,” katanya yang mengulas tindakan sekolah yang mengeluarkan notis berkenaan.

Terdahulu beliau menghadiri dalam Majlis Penyerahan Projek Pembinaan Kompleks SMK Presint 15, dekat sini.

Projek itu melihatkan kawasan seluas  5.9 hektar dengan kos RM121 juta yang dijangkakan siap pada Ogos 2025 untuk keperluan komuniti Presint 15 yang berkepadatan tinggi.

Tindakan tersebut didakwa telah mencetuskan panik tidak berasas dalam kalangan ibu bapa, apatah lagi ada video-video kononnya berlaku cubaan culik murid depan sekolah ditularkan.

Tiga insiden seumpama itu  dilaporkan berlaku di tiga buah sekolah kebangsaan di Gombak minggu ini, namun Ketua Polis Daerah Gombak mengesahkan semua insiden itu tidak berlaku.

Semalam sebuah lagi video tular didakwa insiden cubaan culik berhampiran stesen minyak di Telok Panglima Garang yang menyaksikan seorang lelaki tidak dikenali mendekati kereta yang ditinggalkan wanita dengan tiga anaknya.

Namun selepas siasatan polis didapati andaian yang dibuat itu juga tidak benar.

Dalam perkembangan berkaitan beliau menambah, dalam keadaan tertentu wujud keperluan untuk mendapatkan perincian mengenai sesuatu insiden atau isu sebelum membuat sebarang keputusan atau tindakan sewajarnya.

Beliau mengakui, ibu bapa sentiasa memikirkan situasi keselamatan anak mereka di taman perumahan dan sebagainya, selain dalam kawasan sekolah.

“Oleh sebab itulah saya tegaskan sekali lagi, sekolah sila rujuk segera kepada polis atau memaklumkan kepada kami kalau nak keluarkan sebarang surat peringatan mengenainya supaya ianya tak jadi satu kerisauan baharu dalam kalangan masyarakat,” ujarnya. MalaysiaGazette