Anthony Loke Siew Fook

KUALA LUMPUR – DAP perlu bertanding di kawasan-kawasan Melayu yang tidak dijangka sesiapa pun jika parti itu mahu mara ke depan dan mendapat sokongan lebih besar.

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke berkata, partinya selama ini telah dilabelkan sebagai anti-Melayu dan anti-Islam sehingga parti itu ditolak oleh kaum tersebut.

Beliau berkata, DAP bagaimanapun tidak akan berputus asa dengan keadaan itu, tetapi akan bertanding di kerusi majoriti Melayu dalam pilihan raya akan datang.

“Dalam rundingan pengagihan kerusi, kami bersedia untuk bertanding di kawasan majoriti Melayu termasuk di kerusi yang ditandingi UMNO.

“Kami tidak mahu menolak semua tanggungjawab kepada PKR dan Amanah kerana hakikatnya sesetengah kawasan adalah amat sukar untuk ditembusi.

“Selama ini memang PKR dan Amanah yang bertarung di situ, tetapi sudah tiba masanya untuk DAP menerima cabaran ini,” katanya dalam wawancara bersama Roket.

Kandungan temuramah itu kemudian dipetik oleh Kwong Wah Yit Poh.

Mengulas lanjut, Anthony berkata, DAP tidak boleh mengelak semata-mata kerana sedar satu-satu kawasan itu sukar dimenangi.

“Kami perlu berusaha jika mahu memperluaskan pengaruh, oleh itu kami perlu cuba bertarung di kerusi-kerusi ini.

“Dalam pilihan raya akan datang, kami akan bertanding di kerusi tertentu di Selangor dan Johor yang tiada siapa pun menjangka kami akan bertanding,” katanya.

Anthony berkata, DAP akan bertanding dengan membawa imej parti majmuk dalam pilihan raya. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Kalau ko nak majmuk..pastikan parti ko majmuk dulu..CEC ko sendiri penuh dgn Cina..kalau ada Melayu pun bukan dipilih tp dilantik sebagai baruah

Comments are closed.