Instragram Mukhriz Mahathir

KUALA LUMPUR – Presiden Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Datuk Seri Mukhriz Mahathir berang dengan kenyataan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Mukhriz berkata, pemimpin Bersatu itu membohongi ahli-ahli Perikatan Nasional (PN) dan menafikan Ahli Parlimen Gombak itu ada membuat perjumpaan dengan bapanya.

“Azmin Ali jangan kurang ajar! Bila masa @chedetofficial duduk sembang dua jam dengan awak?

“Azmin memang penipu besar! Dengan pemimpin penipu macam ni, rakyat wajib tolak,” katanya di Instagram beliau malam ini.

Petang tadi, Mohamed Azmin di hadapan ribuan ahli-ahli gabungan PN memberitahu dirinya ada mengadakan pertemuan dengan Mahathir dan membincangkan mengenai Langkah Sheraton pada 2020 lalu.

Mohamed Azmin mendakwa Dr Mahathir meletakkan jawatan sebagai perdana menteri pada 2020 kerana sikap pelupanya.

Mohamed Azmin yang juga merupakan Pengerusi PN Selangor itu ketika melancarkan persidangan Bahagian Bersatu dan pelancaran jentera Pilihan Raya Bersatu Selangor berkata, perkara itu didedahkan selepas mengadakan satu pertemuan bersama Dr Mahathir baru-baru ini.

“Tun Dr Mahathir pun pening, akhirnya dia letak jawatan. Dia panggil saya baru-baru ini, dia kata Azmin apa berlaku di Langkah Sheraton, saya kata tak ada langkah (Sheraton).

“Saya duduk dua jam bersama Tun dan saya kata tidak ada langkah cuma makan-makan sahaja.

“Tun letak jawatan kenapa? Itulah, entah saya lupa,” kata Azmin. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Tun M letak jawatan sebab lupa, kata Azmin