Barang-barang yang dirampas daripada seorang lelaki ekoran menjalankan aktiviti memproses dan menjual ketum.

KUALA LUMPUR – Sepandai-pandai tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah juga.

Itu yang berlaku kepada seorang lelaki apabila dicekup Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Wangsa Maju kerana menjalankan aktiviti memproses dan menjual air ketum.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Suptrintedan Ashari Abu Samah berkata, suspek berusia 30 tahun itu dipercayai aktif memproses dan mengedar air ketum sejak awal Mei tahun ini.

Menurutnya, sebanyak 37 botol air berisi cecair disyaki air ketum (isipadu keseluruhan sebanyak 55.5liter), 780 bungkusan plastik yang mengandungi daun-daun ketum (anggaran berat keseluruhan 10 kilogram) dan lima botol yang berisi cecair disyaki Kodein (ubat batuk) (anggaran keseluruhan 600 mililiter) telah dirampas dalam serbuan ini.

“Selain itu turut dirampas peralatan memproses air ketum iaitu dua periuk besar, satu periuk kecil, dua tong gas, satu set peralatan dapur gas, satu alat penimbang, satu senduk, sebuah bekas plastik dan sebuah alat penapis,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Tambah Ashari, suspek direman selama empat hari sejak semalam hingga Selasa ini untuk siasatan lanjut.

Kes disiasat di bawah Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952 dan kertas siasatan akan diserahkan kepada Timbalan Pendakwaraya untuk tindakan lanjut.

Beliau turut mengucapkan ribuan terima kasih kepada orang awam yang membantu memberikan maklumat dan sessiapa yang mempunyai maklumat mengenai aktiviti seperti itu diminta menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran. – MalaysiaGazette