KUALA LUMPUR – Faktor Johor Darul Ta’zim (JDT) terus mengungguli arena bola sepak tempatan dengan kejayaan triple hatrick dengan memenangi kejuaraan Liga Super sembilan kali berturut-turut malam tadi kerana semangat kekeluargaan yang tinggi.
Pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim mendedahkan, pencapaian pasukannya yang berterusan mencipta kejayaan demi kejayaan juga adalah hasil usaha keras semua pihak dan tidak sekadar turun dari ‘langit’.
“Kejayaan sebuah kelab tidak datang secara tiba-tiba namun ia dibina. Kami sayang, menghormati dan sanggup mati untuk satu sama lain.
“Kami bukan hanya kelab semata-mata namun adalah sebuah keluarga,” tulis Tunku Ismail menerusi laman Instagram miliknya.
Semalam, skuad Harimau Selatan terus membuatkan pasukan lain ‘gigit jari’ apabila merangkul gelaran Liga Super buat kali kesembilan berturut-turut.
Ketika saingan berbaki empat perlawanan lagi, skuad bimbingan Hector Bidoglio itu mencatat kemenangan 5-0 ke atas Negeri Sembilan FC (NSFC) di Stadium Sultan Ibrahim.
Mereka bermain ‘bunga api’ lebih awal selepas pencabar terdekat, Sabah FC 0-2 di tangan Terengganu FC (TFC) di Kuala Terengganu.
Kekalahan skuad Badak itu menyaksikan perebutan takhta Liga Super berakhir memandangkan JDT tidak lagi boleh dikejar mana-mana pasukan pada musim ini. – MalaysiaGazatte