KUALA LUMPUR – Perikatan Nasional (PN), Pakatan Harapan (PH) dan Gerakan Tanah Air (GTA) dikatakan bimbang mereka akan mengalami kekalahan mutlak sekiranya Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) diadakan hujung tahun ini.
Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, pemimpin-pemimpin kanan kesemua parti berkenaan sebelum ini menyatakan mereka bersedia menghadapi PRU-15.
Menurut beliau, Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Konvensyen PN 27 Ogos lalu mengumumkan mereka bersedia menghadapi PRU-15 bila-bila masa.
“Dia sendiri mengakui jika mengikut adat kebiasaan pun, tempoh sekarang kini memasuki tahun terakhir bagi penggal pilihan raya dan PN sedia masuk gelanggang kerana anak jantan.
“Ketika itu tidak pula anak jantan beri alasan tidak boleh PRU-15 sebab musim hujan,” katanya dalam hantaran Facebook miliknya hari ini.
Presiden UMNO itu menambah, Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli pada 21 Ogos lalu juga mengumumkan PH sudah bersedia jika PRU-15 diadakan pada Oktober atau November ini.
Beliau memberitahu, Rafizi menyatakan kononnya suasana politik tidak sepenuhnya memihak BN maka jika Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan PRU-15 pada bulan ini atau November, PH sudah bersedia.
Ahmad Zahid berkata, Pengerusi GTA, Tun Dr. Mahathir Mohamad pada 27 Ogos lalu turut memaklumkan GTA bersedia untuk bertanding dalam PRU-15.
“Sama seperti anak jantan, tiada alasan tidak boleh PRU-15 kerana musim hujan dikemukakan sedangkan semua sedia maklum mengenai musim hujan di Malaysia,” jelasnya.
Menurut beliau, alasan musim hujan hanya bermula tatkala mereka meyakini Perdana Menteri akan membubarkan Parlimen menyebabkan mereka mula bimbang.
“Bukan kerana bimbangkan hujan atau kemungkinan banjir tetapi bimbangkan potensi mengalami kekalahan mutlak. Putar belit mereka tersangat menyerlah,” katanya. – MalaysiaGazette