Seorang remaja meninggal dunia selepas kenderaan yang dipandunya terbabas dan melanggar pembahagi jalan di Kilometer 23 Lebuh Raya Utara-Selatan, hari ini.

KULAI – Seorang remaja berusia 19 tahun maut selepas kereta yang dipandunya terbabas dan melanggar pembahagi jalan di Kilometer 23 Lebuh Raya Utara-Selatan di sini hari ini.

Pegawai Bomba Kanan II, Asmiza Zaini berkata, kejadian berlaku pukul 5 pagi itu menyebabkan mangsa Nur Helmi Rafiee meninggal dunia di tempat kejadian.

Menurutnya, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kulai telah menerima panggilan mengenai kejadian tersebut pukul 5.13 pagi.

“Seramai tujuh anggota dengan jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke lokasi kejadian.

“Setibanya di lokasi, anggota mendapati kemalangan berlaku membabitkan sebuah kereta Perodua Myvi.

“Mangsa yang tidak tersepit telah dikeluarkan oleh pihak bomba dengan menggunakan stretcher.

“Mangsa telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pihak KKM yang turut berada di lokasi dan seterusnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya menerusi kenyataan media hari ini .- MalaysiaGazette