Butik Siti Khadijah di IOI City Mall, Putrajaya kini menyediakan surau di dalam butik.

KUALA LUMPUR – Siti Khadijah Sdn. Bhd., pengeluar produk telekung bermutu tinggi berjenama Siti Khadijah terus mengukuhkan empayar perniagaan berkonsepkan gaya hidup Islam dengan melancarkan konsep baharu bertemakan ‘Memupuk Gaya Hidup Bermanfaat’.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohammad Munzir Aminuddin berkata, melalui setiap produk Siti Khadijah, syarikat kini bukan saja menawarkan produk yang selesa digunakan.

Tetapi juga mahu memberi maafaat kepada pengguna dan seterusnya memupuk sifat sama kepada orang lain supaya bersama-sama mendapat kebaikan di dunia dan akhirat, katanya.

Beliau berkata, syarikat turut mahu mengangkat martabat, nilai dan kesucian agama Islam melalui setiap produk yang dikeluarkan.

“Butik kami di IOI City Mall kini lebih besar kerana Siti Khadijah mahu menempatkan lebih banyak produk dan sasaran kami bukan hanya telekung tetapi kepada ibadah khusus dengan menyediakan surau yang boleh digunakan pelanggan untuk menunaikan solat.

“Inilah kelebihan dan keistimewaan butik di IOI City Mall dengan pembinaan surau di dalamnya yang terletak di depan dan bukan di belakang butik.

“Surau ini juga sebagai model tempat ibadah yang perlu ada di setiap kediaman keluarga Islam,” katanya pada majlis pelancaran butik itu semalam.

Siti Khadijah kini telah memindahkan butik sedia ada di IOI City Mall ke sayap baharu pusat beli belah itu dengan keluasan yang lebih besar iaitu 3,000 kaki persegi melibatkan jumlah pelaburan sebanyak RM500,000.

Majlis pelancaran butik Siti Khadijah yang kini telah memindahkan butik sedia ada di IOI City Mall ke
sayap baharu pusat beli belah itu berlangsung, semalam.

Turut berlangsung majlis pelancaran bersama Butik Hegira iaitu rakan kolaborasi dan jenama tudung di bawah Kumpulan Siti Khadjiah yang menawarkan inovasi dan inspirasi kepada golongan wanita melalui rekaan tudung ‘slip on’ yang merangkumi keunikan, fleksibiliti, praktikal dan selesa.

Butik kedua Hegira itu bersebelahan butik Siti Khadijah setelah kejayaan butik pertama Hegira yang dibuka di Kota Bharu pada Julai lalu.

Mengulas lanjut, Mohammad Munzir menjelaskan, setiap produk yang dipamerkan di surau itu adalah untuk dijual dan orang ramai boleh mendapatkannya di butik Siti Khadijah.

“Kami mahu menjual konsep surau ini supaya di setiap kediaman orang Islam ada ruang solat untuk keluarga dan tetamu. Barangkali, Siti Khadijah adalah perintis pertama yang menyediakan surau di dalam butik.

“Sebaik sahaja selesai pembelian, pelanggan boleh terus mencuba telekung dan sejadah baru di surau.

“Siti Khadijah juga mahu membawa pengalaman yang menakjubkan kepada pelanggan apabila menyediakan perkhidmatan tukang jahit untuk tempahan, bungkusan hadiah, menjual beg telekung, sejadah, tudung (jenama Hegira), kasut dan pakaian muslimah,” katanya.

Siti Khadijah sehingga kini telah memiliki 43 cawangan butik si seluruh negara termasuk di pusat beli-belah IOI City Mall dan bercadang untuk memiliki sehingga 53 cawangan pada tahun ini, sebelum menambah 10 lagi butik baharu pada tahun 2023. – MalaysiaGazette