Pengerusi LPPKN, Datuk Suhaimi Mohd Ghazali merasmikan Seminar SMARTSTART 2nd Honeymoon di Kuala Lumpur hari ini.

KUALA LUMPUR – Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM)  menggesa lebih banyak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pemimpin masyarakat untuk tampil melaksanakan program SMARTSTART 2nd Honeymoon.

Menterinya, Datuk Seri Rina Mohd. Harun berkata, permohonan program anjuran Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) boleh dibuat melalui Peruntukan Perbendaharaan bidang kekeluargaan yang dikhaskan kepada pasangan yang telah berkahwin sekurang-kurangnya lima tahun.

Beliau berkata, sejak tahun 2015 sehingga Jun 2022, hanya sebanyak 156 NGO telah melaksanakan 219 program yang melibatkan 19,470 peserta yang menerima manfaat daripada program berkenaan.

Berdasarkan Kajian Penduduk dan Keluarga Malaysia Ke-5 (KPKM-5, 2014) menunjukkan lebih separuh (56.2 peratus) lelaki menyatakan punca mereka bercerai/berpisah adalah kerana tiada persefahaman.

Ini diikuti dengan isteri curang (11.8 peratus) dan campur tangan mentua, ipar/duai (10 peratus) manakala bagi wanita pula, lebih satu pertiga (38 peratus) menyatakan punca utama mereka bercerai/berpisah adalah kerana tiada persefahaman, diikuti dengan suami curang (20.5%) dan suami tidak bertanggungjawab (15.2 peratus).

Beliau berkata demikian dalam teks dalam ucapannya yang dibacakan Pengerusi LPPKN, Datuk Suhaimi Mohd Ghazali ketika merasmikan Seminar SMARTSTART 2nd Honeymoon di sini hari ini.

Seminar sehari ini telah dihadiri lebih 50 pasangan atau 100 orang peserta.

Program itu merupakan usaha berterusan LPPKN untuk membentuk keluarga sejahtera dan bahagia serta membantu pasangan dalam mempertingkatkan pengetahuan dan kemahiran keibubapaan ke arah pemantapan institusi keluarga. – MalaysiaGazette

KPWKM menggesa lebih banyak Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan pemimpin-pemimpin masyarakat untuk tampil melaksanakan program SMARTSTART 2nd Honeymoon.