Dr. Ibrahim bersama Sazmi (kiri), Zamani (tengah) dan barisan Majlis Kepimpinan GTA Kelantan dalam sidang media malam tadi.

KOTA BHARU – Banyak badan bukan kerajaan (NGO) termasuk Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) dan figura perseorangan gelisah terhadap musibah politik yang melanda orang Melayu.

Justeru, tertubuhnya Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) pada 8 Mei 2019 disebab musibah politik Melayu yang porak peranda, kata Datuk Paduka Dr. Ibrahim Ali.

Namun, katanya, Perkasa yang bertindak sebagai NGO sebelum ini hanya lantang seperti anjing menyalak bukit, berjuang, menuntut dan mendesak sedangkan tiada terkesan pun kepada kerajaan.

“Tidak seperti NGO kaum minoriti seperti Dong Zong, Hindraf, Bersih dan lain-lain lagi yang mendapat layanan mesra kerajaan.

“Oleh itu, Gerakan Tanah Air (GTA) cetusan Tun Mahathir Mohamad adalah menggabungkan parti politik, NGO dan figura perseorangan seperti ahli akademik, profesional, aktivis masyarakat serta agamawan untuk membela nasib orang Melayu, agama Islam dan negara.

“Gerakan ini dikaitkan dengan pelbagai idea, fahaman, kecenderungan untuk satu kepentingan bersama satu akidah, satu jemaah, satu hasrat dan matlamat iaitu menegak kebenaran, keadilan serta mencegah kemungkaran,” katanya dalam sidang media di Kota Bharu malam tadi.

Jelasnya, GTA bukan entiti politik bersifat kepartian yang terikat dengan fahaman serta dasar parti politik, ianya gabungan NGO dan figura perseorangan yang tidak berminat, tidak diterima dan tidak berpeluang dalam parti politik boleh turut serta sebagai satu gerakan bersama berpolitik untuk kebaikan rakyat dan negara.

“Mereka turut bersama membuat keputusan dan menentukan polisi dan hala tuju GTA. Biasanya NGO dan figura perseorangan dengan parti politik hanya sebagai pengampu dan penyokong sahaja.

“Ini juga sebagai satu langkah kepada penyokong atas pagar yang berminat dan berpotensi boleh menyertai GTA,” katanya.

Kata Ibrahim, perjuangan, tuntutan dan harapan GTA ialah untuk mengembalikan kuasa politik mengikut demokrasi, perlembagaan, kepimpinan berakhlak, adil, makmur, harmoni, sejahtera untuk semua kaum.

Gagasan itu juga, tegasnya, menolak rasuah, menentang penyelewengan, mencegah salahguna kuasa dan segala bentuk kemungkaran.

“Jadi, segala tohmahan, kutukan, fitnah, persepsi, prejudis dan sebagainya terhadap GTA adalah kerosakan minda dan kesedapan lidah yang dipengaruhi oleh sentimen kemarahan, dengki, busuk hati yang mempamerkan akhlak dan jiwa kacau.

Presiden Putra itu berkata, GTA menawarkan pilihan kepada pengundi Melayu yang masih berpegang kuat kepada prinsip abata dan tuduhan menyatakan gagasan itu memecah undi Melayu hanya segregasi undi antara parti Melayu yang bertanding.

“Parti mana menang pun tetap Melayu. GTA hanya bertanding di kawasan majoriti Melayu. Tidak timbul GTA punca perpecahan Melayu. GTA akan meletakkan calon Melayu yang terbaik terpulanglah kepada pengundi Melayu mahu pilih siapa.

“Tuduhan GTA adalah gabungan Melayu rasis itu adalah tohmahan, prejudis dan persepsi sengaja dibangkitkan sentimen perkauman di kalangan rakyat berbilang kaum.

“GTA tidak pernah cemburu atau pertikai hak dan kebebasan kaum lain. Tiada dasar yang tertulis atau bersuara menggugat kaum lain. Hanya provokasi memperbesarkan isu ini,” katanya.

Beliau menegaskan, sekian lama majoriti kaum Cina dan India termasuk ada juga serpihan Melayu menyokong DAP tidak pula dikatakan rasis kerana kononnya multi racial sedangkan hakikatnya parti itu sangat rasis yang berselindung di sebaliknya.

GTA kata Ibrahim, hanya menyatakan kebimbangan Melayu yang semakin jauh ketinggalan berbanding kaum lain, yang mana kemiskinan menyebabkan Melayu survival.

“Tadbir urus negara yang melibatkan penyelewengan, salahguna kuasa dan rasuah menyebabkan ketirisan, kehilangan dan keberhutangan yang terpaksa ditanggung oleh rakyat.

“Perjuangan, menuntut dan mempertahankan kedudukan Islam, Hak Keistimewaan Melayu, Raja-Raja Melayu dan Bahasa Melayu, adakah itu rasis?

“GTA hanya meletakkan calon di kawasan Parlimen dan DUN majoriti Melayu sahaja. Ini tidak bermakna GTA akan bertanding di kawasan majoriti Cina atau India,” katanya.

Beliau turut mengumumkan barisan Majlis Kepimpinan GTA Kelantan yang mana beliau sebagai Pengerusi negeri diikuti empat Timbalan Pengerusi, Prof. Datuk Dr. Che Musa Che Omar (Putra), Datuk Sazmi Miah (Pejuang), Nurfaizul Nuzani (Berjasa) dan Mohamad Sidik (Iman).

Ketua Pemuda GTA Kelantan, Burhanuddin Ruslan (Putra); Ketua Wanita, Azizah Mohamad (Pejuang); Setiausaha, Ab. Kadir Yaacob (Putra); Bendahari, Mohamad Sultan Oli Mohamad (Iman); dan Ketua Penerangan, Kamarul Azam Othman (Putra). – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast