Mohd Khalid Harun

KUALA LUMPUR – Persatuan Agensi Pelancongan Malaysia (MATA) percaya kerajaan akan terus memberi perhatian membantu industri pelancongan yang terjejas terus selama dua tahun akibat pandemik Covid-19 dalam pembentangan Bajet 2023.

Lantaran itu, Presidennya, Datuk Dr Mohd Khalid Harun mahu kerajaan memberi tumpuan kepada penubuhan Perbankan Pelancongan dan beberapa insentif untuk membantu industri ini.

Menurutnya, perbankan pelancongan perlu diwujudkan pada kadar semasa bagi membantu pemain industri mendapatkan pinjaman secara terus tanpa melalui bank perdagangan yang mempunyai banyak birokrasi yang tidak munasabah dalam industri pelancongan.

Beliau mendakwa, bank perdagangan telah gagal membantu pemain industri yang memohon pinjaman semasa pandemik yang lalu berdasarkan banyak maklum balas negatif daripada ahli berkaitan bank komersial.

MATA juga menyarankan agar Kerajaan Malaysia memberi insentif untuk membantu industri pelancongan negara.

Pemberian ini termasuk pengecualian cukai untuk pemain dalam industri pelancongan selama lima tahun, sudah tentu dapat membantu mereka untuk lebih berdaya saing di peringkat antarabangsa dengan negara maju.

Jelas Mohd Khalid, pengecualian cukai untuk industri pelancongan ini telah digunakan di beberapa negara lain dan sudah sampai masanya Malaysia mencontohi usaha ini.

Kerajaan Malaysia perlu mempertimbangkan untuk menyediakan insentif untuk semua persatuan pelancongan berdaftar Malaysia yang akan digunakan untuk menjalankan aktiviti persatuan memajukan industri pelancongan negara.

MATA juga mahu segala bentuk prasarana yang melibatkan tempat pelancongan perlu dibaiki secepat mungkin termasuk menaik taraf balai berlepas dan ketibaan di setiap lapangan terbang yang kelihatan semakin ketinggalan zaman.

“Kerajaan digesa memberi insentif dari segi bayaran lapangan terbang kepada syarikat penerbangan asing untuk terbang ke KLIA dan lapangan terbang antarabangsa lain di Malaysia yang membawa masuk pelancong dari luar negara. Ini sudah tentu memberi pulangan yang besar kepada negara dari segi ekonomi daripada pelancong antarabangsa.

”Dengan memberi lebih banyak insentif untuk mempromosikan Malaysia di dalam dan luar negara dapat membantu pemain industri untuk turut serta dalam misi promosi Tourism Malaysia di luar negara.

”Pada masa ini, Tourism Malaysia menyediakan Geran Gamelan yang membiayai 50% daripada kos penyertaan untuk mempromosikan Malaysia. Pemberian Gamelan perlu dinaikkan daripada 50% kepada 65% kepada membantu pemain industri,” ujarnya.

Mohd Khalid yakin kerajaan mempunyai komitmen tinggi untuk mempromosikan pelancongan yang merupakan penyumbang ketiga terbesar kepada negara. – MalaysiaGazette