KUALA LUMPUR – Dakwaan seorang penulis blog kononnya Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan menghadap Yang di-Pertuan Agong hari ini bagi membubarkan Parlimen adalah berita palsu.
Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Seri Ahmad Fadil Shamsuddin memaklumkan Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada waktu ini berada di Singapura.
“(Ia) berita palsu. Tuanku masih di Singapura,” kata Ahmad Fadil seperti yang dilaporkan oleh FMT.
Semalam, penulis blog, Datuk Zaharin Mohd Yasin mendakwa Ismail Sabri akan akan hadir ke Istana Negara hari ini untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong bagi memohon pembubaran Parlimen.
Beliau mendakwa, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan akan mewakili Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengiringi Ismail Sabri ke Istana Negara.
“Khabar cerita, esok pagi (hari ini) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan diiringi Datuk Seri Ahmad Maslan mewakili Ahmad Zahid Hamidi akan pergi ke Istana negara menghantar surat bagi meminta Parlimen dibubarkan segera,” katanya.
Kenyataan Zaharin kemudiannya tular di media sosial.
Dua hari lalu, Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MT) UMNO bersetuju Zaharin dipecat daripada ahli UMNO berkuat kuasa serta-merta.
Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, keputusan itu diambil mengikut Fasal 10.6 dibaca bersama Fasal 5.9 kerana melanggar Etika Ahli UMNO di bawah Fasal 20.9 Perlembagaan UMNO.
Zaharin sebelum ini lantang mengkritik beberapa pimpinan parti termasuk Ahmad Zahid melalui media sosialnya.
Sementara itu, sumber rapat dengan Ismail Sabri berkata, jadual Perdana Menteri pada hari ini ‘padat dengan mesyuarat’.
Sumber itu juga memberitahu, Ahli Parlimen Bera itu tidak mempunyai mesyuarat yang dijadualkan di Istana Negara untuk beberapa hari akan datang.- MalaysiaGazette