Siti Zabedah Kasim.- foto HAZROL ZAINAL, 28 OGOS 2020.

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dijangka tidak akan membubarkan Parlimen pada tahun ini.

Itu pandangan aktivis politik dan juga peguam kontroversi, Siti Kasim.

Menurut beliau, Ahli Parlimen Bera itu bukanlah tidak bijak sehingga mahu mengadakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) tahun ini.

Beliau yang akan bertanding di bawah parti Gerak Independent pada PRU-15 berkata, sekiranya Ismail Sabri mengekalkan jawatannya sehingga tahun depan, Naib Presiden UMNO itu akan mendapat ‘wang pencen perdana menteri’.

Dalam ciapan di Twitter, pemilik nama Siti Zabedah Kasim itu juga yakin Pakatan Harapan (PH) akan memberikan sokongan kepada Ismail Sabri sekiranya UMNO akan memecat Ismail Sabri kerana tidak mematuhi arahan parti.

Tambah Siti Kasim, pada waktu ini, jawatan perdana menteri tidak lagi bergantung kepada mana-mana parti politik.

Ketika ini bertiup kencang bahawa Parlimen akan dibubarkan sebaik sahaja Belanjawan 2023 dibentangkan di Dewan Rakyat Jumaat ini.

Spekulasi itu diperkuatkan lagi apabila Majlis Kerja Tertinggi UMNO yang bermesyuarat minggu lalu yang turut dihadiri oleh Ismail Sabri mahu PRU-15 diadakan dalam tahun ini juga.

Sebelum ini, media melaporkan Gerak Independent telah mengenal pasti 15 kawasan Parlimen untuk ditandingi pada PRU-15.

Lima daripada keseluruhan kawasan Parlimen dalam radar mereka itu adalah milik gabungan pembangkang Pakatan Harapan (PH) iaitu Batu, Subang, Wangsa Maju, Petaling Jaya dan Kota Kinabalu.

Siti Kasim yang menjadi salah seorang calon dalam kumpulan berkenaan akan bertanding di Parlimen Baru iaitu kerusi yang disandang oleh PH.

Bekas Ahli Parlimen Sungai Benut, Tawfik Tun Dr. Ismail merangkap anak sulung bekas Timbalan Perdana Menteri kedua, Tun Dr. Ismail Abdul Rahman turut merahsiakan kawasan yang beliau akan bertanding pada pilihan raya umum nanti.

Kumpulan itu antara lain meletakkan calon-calonnya di kawasan pembangkang iaitu Ravee Suntheralingam (Wangsa Maju); KJ John (Petaling Jaya); Charles Chow Chon Jin (Subang); Roland Cheng (Kota Kinabalu) dan terbaharu, Remy Tony Sulil Majangkim yang akan bertanding di Parlimen Sandakan. – MalaysiaGazette