KUALA LUMPUR – Kerajaan di seluruh negara Islam didesak supaya bertindak ke atas kebiadaban Israel berikutan tindakan rejim zionis menceroboh Masjid Al Ibrahimi di bandar Khalil Hebron, Tebing Barat, Palestin.
Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, insiden hari ini akan menjadi pencetus terhadap pergolakan yang memangsakan warga Palestin oleh rejim itu.
“Pagi ini kami mendapat berita terjadi masjid Palestin kedua terpenting selepas Masjid Al Aqsa itu dicerobohi sekumpulan Yahudi yang mencemari masjid dengan menari di dalam masjid dengan bunyi muzik yang sangat kuat.
“Masjid Al Ibrahimi sudah berkali-kali dicerobohi tentera dan puak Yahudi tanpa tindakan apa-apa sekalipun dari dunia Islam.
“Regim Israel dan puak penduduk haram Yahudi tidak henti-henti melakukan keganasan di bandar itu terhadap penduduk Palestin dan Masjid Al Ibrahimi menjadi sasaran utama.
“Kami mengutuk sekeras- kerasnya pencabulan puak Yahudi Zionis di Masjid Al Ibrahimi di bandar Khalil (Hebron) Tebing Barat Palestin hari ini,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Sementara itu, Mohd Azmi menggesa kerajaan Malaysia supaya tidak mendiamkan diri, sebaliknya berusaha membantah dan mengusulkan kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Pertubuhan Negara Islam (OIC) bertindak ke atas Israel.
“Kami menyeru umat Islam di seluruh dunia bertindak menyatakan bantahan serta menggerakkan boikot yang berkesan terhadap Israel dan pihak yang menyokong Israel,” ujarnya. – MalaysiaGazette