LANGKAWI – Seorang pelajar madrasah dari Banting, Selangor ditemui lemas di Hutan Lipur Lubuk Semilang di sini, hari ini.
Ketua Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Kedah, Penguasa Bomba Zamani Ismail berkata, pihak bomba menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada jam 9.55 pagi.
Jelas beliau, lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Langkawi dikerahkan ke lokasi kejadian.
“Operasi mencari dan menyelamat pelajar lelaki berusia 15 tahun itu dilakukan dan mayatnya ditemui pada jam 11.40 pagi.
“Menurut saksi, sebelum kejadian, mangsa dikatakan sedang bermain air bersama tujuh rakannya berusia lingkungan 15 hingga 16 tahun sebelum dia tergelincir jatuh ke dalam sungai.
“Beberapa rakan cuba menyelamatkan mangsa Bamun gagal sebelum seorang daripada saksi bertindak menghubungi pihak bomba,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Tambah Zamani, mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. – MalaysiaGazette