Salahuddin Ayub

KUALA LUMPUR – Pas didakwa sedang bergelut untuk memastikan kedudukannya dalam kerajaan  sanggup mendekati sesiapa sahaja termasuklah golongan dan pemimpin parti yang sedang dihadapkan ke mahkamah atas dakwaan rasuah.

Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, tindak-tanduk parti itu bercanggah dengan kenyataan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang menolak golongan perasuah sebelum ini.

”Tetapi demi kuasa, Pas tidak peduli semua itu walaupun tindakan ini menjatuhkan maruah sendiri.

”Demi kuasa juga, Pas sanggup mencuci segala kekotoran yang pernah dilempar sendiri oleh Pas sebelum ini terhadap MCA dan Gerakan yang menolak hudud,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Oleh itu, menurut Salahuddin, Pas semakin rancak bergendang tentang penyatuan ummah atau Muafakat Nasional yang merupakan agenda yang pernah digunakan untuk bersatu dengan UMNO bagi menjatuhkan Pakatan Harapan (PH) .

Bagaimanapun selepas agenda itu berhasil melalui pengkhianatan Langkah Sheraton, penyatuan ummah sudah tidak kedengaran lagi kerana masing-masing bernafsu dengan pangkat dan jawatan.

Salahuddin berkata, sepanjang Pas berada dalam kerajaan, tiada pencapaian yang membanggakan berjaya diraih untuk meninggikan kedudukan dan martabat orang Melayu dan Islam dalam negara ini.

Malah RUU355 yang pernah dijadikan alat untuk Pas melabelkan pihak lain sebagai musuh Islam juga tidak diperjuangkan.

Sebaliknya, dakwanya, rata-rata nasib orang Melayu dan Islam di bawah pentadbiran kerajaan negeri yang ditadbir Pas juga tidak terbela.

”Lihatlah apa yang dilakukan oleh Menteri Air dari Pas terhadap masalah bekalan air bersih di Kelantan. Sebaliknya, lebih banyak kemungkaran dan maksiat yang masih berlaku termasuklah di negeri yang ditadbir oleh Pas.

”Pas tidak mungkin mampu untuk menjawab dakwaan ini,” ujarnya. – MalaysiaGazette