Deretan lori yang membawa buah sawit milik Nit Mat Adam menunggu giliran untuk dijual kepada kilang di Felda Chini Timur, Pekan, Pahang. foto HAZROL ZAINAL, 06 JUN 2020.

KUALA LUMPUR – Harga minyak sawit Malaysia yang melemah kebelakangan ini sememangnya sudah dijangkakan memandangkan harga pasaran saham dunia juga telah menyusut susulan kenaikan kadar faedah didorong situasi inflasi yang menimbulkan kebimbangan bahawa ia boleh mencetuskan kegawatan ekonomi.

Bagaimanapun, Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin berkata, situasi ini dijangka sementara sahaja kerana China, negara pengguna utama minyak sawit dijangka melonggarkan secara berperingkat dasar sifar Covid-19 yang dilaksanakannya selama ini.

Menurut beliau, laporan pasaran juga menjangkakan permintaan kembali mencatatkan pertumbuhan 3% berikutan ekonomi dunia pasca pandemik kini mula dibuka kembali dari semasa ke semasa.

“Walaupun harga minyak sawit mentah (MSM) tidak lagi berada di kemuncaknya yang mencecah lebih RM8,000 satu tan metrik (MT) pada Mac 2022 berikutan konflik Rusia-Ukraine menjejaskan bekalan minyak bunga matahari, Kenanga Research menjangkakan harga MSM sebagai ‘masih baik’ pada purata RM4,50O MT pada 2022 dan RM4,000 MT pada 2023.

”Ketika ini, kedua-dua minyak sawit (dengan sekitar 35% penguasaan pasaran) dan minyak kacang soya (sekitar 25% penguasaan pasaran), kekal sebagai minyak makan utama di pasaran dunia walaupun pengeluaran minyak sawit sudah melepasi tahap kemuncaknya, manakala pengeluaran kacang soya Amerika Syarikat bagi musim 2022 pula baru bermula,” katanya dalam kenyataan, di sini.

Tambahnya, meskipun sektor perladangan sawit juga dibebani dengan lonjakan kos pengeluaran disebabkan peningkatan harga baja, upah buruh dan perbelanjaan pengangkutan, namun keseluruhannya, semua kos berkaitan dijangka berada dalam lingkungan RM2,000 hingga RM2,500 setiap MT, sekali gus masih mampu menjana margin huluan yang sihat bagi sektor perladangan ini.

Sesuatu yang sangat menggalakkan adalah sektor perladangan Malaysia kini sudah berkembang dengan penggiat-penggiat industri sudah menerima pakai prinsip tadbir urus alam sekitar, sosial dan korporat (ESG) dalam operasi harian mereka.

Sebagai bukti, kira-kira 16 juta MT minyak sawit Malaysia sudah mendapat penarafan Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO), selain memenuhi beberapa standard tinggi ESG bagi hasil ladang yang dikeluarkan di seluruh dunia.

”Hasil kajian Kenanga Research, kumpulan-kumpulan perladangan yang diurus tadbir dengan baik turut mengambil inisiatif sendiri dan tidak berdiam diri, dengan berusaha mendapatkan hasil minyak sawit yang lebih tinggi mencecah
sehingga 6 MT per hektar atau kira-kira 10 kali ganda lebih tinggi berbanding hasil tanaman minyak makan yang lain,” tambahnya.

Zuraida berkata, dalam Bajet 2023 yang akan dibentangkan pada 7 Oktoberi ini, Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi menyarankan anjakan asas dalam strategi dengan memberi tumpuan kepada pertumbuhan intensif, didorong oleh hasil dan pelaburan sejajar dengan penekanan terhadap aspek kemampanan oleh negara-negara pengeluar utama dan pasaran pengguna yang semakin meningkat.

Sebagai tambahan, KPPK juga sudah melancarkan kempen ‘Gerakan Global Untuk Memperjuangkan Kebaikan Minyak Sawit’ demi menyokong usaha meningkatkan kesedaran mengenai kualiti minyak sawit Malaysia, selain membidas tuduhan palsu dan maklumat tidak tepat yang dilemparkan pihak tertentu terhadap minyak ’emas’ negara. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast