Gambar-gambar protes membabitkan pelajar Universiti Sharif, Iran. Foto Twitter

TEHRAN – Polis Iran bertempur dengan para pelajar Universiti Sharif, sebuah universiti paling berprestij di negara itu pada Ahad, yang kejadian itu mendapat liputan di media sosial.

Sebilangan besar mereka terperangkap di tempat letak kereta.

Dalam rakaman melalui media sosial menunjukkan para pelajar bertempiaran melarikan diri daripada pasaukan keselamatan selepas terdengar bunyi tembakan.

Protes antikerajaan meletus di Iran pada September selepas kematian seorang wanita yang ditahan oleh polis kerana tidak mematuhi peraturan pemakaian tudung.

Mangsa, Mahsa Amini, seorang gadis berusia 22 tahun koma beberapa jam selepas polis menahannya.

Polis didakwa memukul kepala Amini dengan baton dan menghantukkan kepalanya pada salah satu kenderaan mereka.

Pihak polis berkata, tiada bukti mengenai sebarang penganiayaan dan dia mengalami “kegagalan jantung mengejut”.

Protes bermula pada acara pengebumiannya dan telah merebak ke seluruh negara hingga menjadi pergolakan paling teruk.

Satu video yang disiarkan di media sosial menunjukkan pelajar berlari dari pasukan keselamatan di kampus Universiti Sharif.

Bunyi seperti tembakan boleh didengari dari jauh.

Dalam satu lagi kejadian, pasukan keselamatan bermotosikal kelihatan menembak ke arah kereta yang menghalang penumpang merakam video itu.

Iran International memetik laporan yang mengatakan pasukan keselamatan menyerang asrama pelajar dan melepaskan tembakan ke arah asrama mereka.

Laporan lain menyebut penggunaan gas pemedih mata ke atas penunjuk perasaan.

Ahad merupakan hari pertama penggal bagi ramai pelajar yang pertama kali mendaftar diri di Universiti Sharif. Laporan mengatakan orang ramai telah berkumpul di luar pintu pagar utama kampus pada lewat petang selepas mendengar tentang pertempuran itu. – Agensi