KUALA LUMPUR – Pakatan Harapan (PH) merayu kepada rakyat supaya memilih semula parti itu dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) nanti.
Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, rakyat tidak harus menyamakan kerajaan PH yang memerintah selama 22 bulan dengan pemimpin PH yang akan mengetuai kerajaan kelak jika menang PRU-15.
“Saya rayu kepada rakyat untuk beri peluang tukar (kepada PH). Kata dulu dah bagi 22 bulan (perintah) tetapi masa itu ketuanya siapa?
“Sekarang pula kalau menang ketuanya siapa? Janganlah samakan,” katanya ketika berucap di Jelajah Rakyat Bandar Tun Razak di sini semalam.
Tun Dr. Mahathir Mohamad dilantik sebagai Perdana Menteri selepas PH memenangi PRU-14 dan menerajui kerajaan tersebut selama 22 bulan.
Anwar pula disebut-sebut sebagai calon Perdana Menteri jika PH memenangi pilihan raya umum akan datang.
Dalam ucapannya, beliau juga mempertahankan DAP selepas parti pimpinan Anthony Loke itu menjadi sasaran pihak lawan.
Ketua Pembangkang itu kesal fahaman rakyat ‘diracun’ apabila ada yang menyatakan PKR merupakan parti bercampur serta bekerjasama dengan DAP.
“Saya nak jelaskan di sini, rakyat perlu lihat dasar kita apa dan tengok sendiri apa pendirian Anthony dan (Presiden Parti Amanah) Mohamad Sabu,” jelasnya.
Anwar turut membuat perbandingan antara harga barang naik, rasuah atau DAP yang lebih berbahaya.
Menurut beliau, DAP adalah sahabat dalam satu pasukan dengan segala dasar dibuat secara bersama.
“Kalau keputusan dibuat dan saya sebagai pengerusi tak setuju, maka tak jalan juga. Saya kalau nak buat keputusan, mesti bersikap adil dan ihsan, itu adalah prinsip kita.
“Maknanya negara ini setelah merdeka lebih 60 tahun mesti ‘peluk’ dan mesti menganggap semua (rakyat) itu sebagai satu keluarga,” katanya.-MalaysiaGazette