Kediaman di Sukkur dekat wilayah Sindh masih ditenggelami air. Foto Twitter

ISLAMABAD – Jumlah kes demam denggi terus meningkat di Pakistan di tengah-tengah  banjir besar yang dicetuskan oleh hujan monsun lebat.

Wilayah selatan Sindh melaporkan 311 jangkitan baharu, kata jabatan kesihatannya.

Kawasan paling teruk terjejas ialah Karachi yang melaporkan 255 kes baharu.

Dengan kes denggi yang baharu dilaporkan, angka Oktober setakat ini bagi wilayah itu meningkat kepada 652.

Peningkatan itu menjadikan jumlah keseluruhan kes kepada 10,806 tahun ini.

Dalam tempoh 24 jam, 287 lagi orang disahkan menghidap penyakit itu di wilayah barat laut Khyber Pakhtunkhwa, lapor jabatan kesihatan wilayah.

Jumlah kes aktif di wilayah itu kini berjumlah 2,177 dan jumlah keseluruhan kes tahun ini mencecah 9,536.

Wilayah Punjab timur melaporkan 230 kes baharu dalam 24 jam manakala Lahore 99 kes baharu, diikuti bandar Rawalpindi dengan 87 kes.

Jumlah denggi di Punjab tahun ini kini meningkat kepada 7,251 kes.

Islamabad pula dengan 34 kes denggi baharu dalam tempoh 24 jam yang lalu, sekali gus jumlah keseluruhan bandar ini telah meningkat kepada 2,586 tahun ini. – Xinhua