Seorang setiausaha syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri ini ditahan reman dua hari di Mahkamah Majistret Johor Bahru hari ini.

JOHOR BAHRU – Seorang setiausaha syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri ini ditahan reman dua hari bagi siasatan kes pemalsuan dokumen mendapatkan kelulusan bayaran daripada pihak pengurusannya.

Perintah reman dikeluarkan Majistret, R. Salini di sini hari ini.

Tertuduh dikenakan perintah reman berkenaan bagi membantu siasatan dibuat mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Difahamkan, suspek telah menyediakan minit ahli lembaga pengarah palsu dengan tujuan mendapatkan kelulusan bayaran dividen pada kadar yang lebih tinggi pada akhir tahun lalu.

Ini termasuklah bayaran elaun pengarah dan bayaran insentif kepada setiausaha syarikat dan pegawai akaun bagi pihak syarikat terbabit.

Selain itu suspek dikatakan telah mendapatkan tandatangan daripada bekas pengarahnya dengan tujuan mengelirukan pihak pengurusan GLC terbabit agar permohonan kesemua bayaran tersebut diluluskan. – MalaysiaGazette