Mohamed Nazri Abdul Aziz

KUALA LUMPUR – Ketua UMNO Bahagian Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz dilihat tidak menyertai Ketua-ketua bahagian dalam perjumpaan khas dengan Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Nazri ketika ini sedang berbahas di Dewan Rakyat mengenai Rang Undang-undang Kesatuan Sekerja (Pindaan 2022).

Situasi itu mendapat perhatian Datuk Mahfuz Omar (Pokok Sena-PH) yang keliru dengan tindakan beliau.

“(Nazri Aziz) tidak pergi jumpa Presiden? Ini kena gantung nanti,” kata Mahfuz.

Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Ramli Mohd Nor pantas menjernihkan situasi apabila memberitahu bahawa tujuan Nazri untuk berbahas sudah dimaklumkan kepada beliau.

“Padang Rengas sudah awal maklum kepada saya,” kata Ramli.

“Maaf ye (Ahli Parlimen) Setiu, kita kawan (ketika mencelah sesi bahas),” kata Nazri.

Nazri ketika itu diberikan laluan untuk berbahas Rang Undang-undang Kesatuan Sekerja (Pindaan 2022) untuk bacaan kali kedua, di Dewan Rakyat hari ini.

Ketika itu Shaharizukirnain Abdul Kadir (Setiu-PN) sepatutnya bangun berbahas.

Mahfuz yang enggan menerima alasan itu berkata, Nazri sepatutnya bimbang digantung oleh UMNO kerana enggan berjumpa Ahmad Zahid.

“Nanti (Nazri Aziz) kena gantung tak pergi jumpa Presiden,” celah Mahfuz.

Menjawab celahan itu, Nazri berkata, jika mahu menggantungnya, UMNO kena gantung beliau sampai mati.

“Kalau gantung tak mati, dia hidup balik,” katanya.

Kira-kita 746 perwakilan dan 191 ketua bahagian UMNO hari ini menghadiri perjumpaan khas dengan Ahmad Zahid dengan Presiden parti itu dijadualkan menyampaikan amanat.

Pertemuan yang turut dihadiri Perdana menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dipercayai berkenaan keputusan yang dibuat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO pada mesyuarat yang diadakan beberapa hari lalu.

Dalam mesyuarat tersebut, MKT UMNO bersetuju Parlimen dibubarkan dalam masa terdekat bagi membolehkan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan tahun ini. – MalaysiaGazette