Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Supritendan Ahmad Ridhwan Mohd Nor@Saleh

KUALA LUMPUR – Polis sedang menjejak dua penyamun yang menggunakan kenderaan curi jenis Perodua Axia berwarna hijau.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd . Nor @ Saleh berkata, pihaknya mengesan dua video tular mengenai kedua-dua lelaki yang menaiki kereta tersebut dengan nombor pendaftaran WC8757K.

Katanya, kenderaan itu merupakan kereta yang dicuri di kawasan Shah Alam, Selangor.

“Video terbabit merupakan dua kejadian samun yang dilaporkan berlaku di Kawasan Telok Panglima Garang di sini pada 19 September dan semalam.

“Polis sedang giat menjalankan usaha mengesan dan menangkap suspek,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Ahmad Ridhwan menegaskan, kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan (Samun Berkawan Tanpa Senjata Api).

Justeru, beliau menggesa orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan suspek supaya menghubungi bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Langat di talian 03-31872222 atau Pegawai Penyiasat Inspektor Norhidayah Mohd. pada talian 017-4055363.

Terdahulu, tular di media sosial rakaman dua klip video masing-masing berdurasi dua dan sembilan saat memaparkan kereta itu berlegar di kawasan perumahan.

Turut kelihatan gambar seorang lelaki dipercayai suspek terlibat dalam kes samun. – MalaysiaGazette