SHAH ALAM – Rundingan kerjasama antara UMNO dan Pas dalam Muafakat Nasional (MN) yang dimulakan semula antara Tan Sri Abdul Hadi Awang dan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi masih belum berakhir.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, rundingan masih lagi berjalan dan ia akan diteruskan oleh Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Hasan selepas ini.
“Berunding ini biasanya takkan siap dalam satu kali berjumpa terutamanya melibatkan perkara-perkara besar seperti bekerjasama dalam pilihan raya dan sebagainya.
“Tentulah sekali jumpa itu tak sempurna (rundingan) lagi. Mungkin ada perkara-perkara yang perlu dibincangkan, jadi akan diteruskan.
“Timbalan presiden pun sudah diminta juga untuk berbincang, jadi perbincangan itu diteruskan,” katanya ketika ditemui pemberita di Universiti Teknologi MARA (UiTM) hari ini.
Sebelum ini, media melaporkan kedua-dua pemimpin itu melakukan pertemuan baru-baru ini, sekali gus menguatkan desas-desus bahawa MN bakal diberi nyawa semula bagi mengelakkan pertembungan dua parti itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
Keputusan perbincangan antara kedua-dua pemimpin parti Melayu berkenaan dibawa ke mesyuarat MKT UMNO pada 30 September lalu.
Dalam pada itu, Ismail Sabri juga menafikan bahawa rundingan kedua-dua pemimpin parti itu sebagai gagal.
“Bukan bermakna gagal, sehinggalah diumumkan gagal itu gagallah.
“Selagi tak diumumkan gagal, masih jumpa lagi, maka teruskan perjumpaan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette