Mahathir UMNO PRU-15
Dr Mahathir Mohamad

KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad meramalkan 1.7 juta pegawai kerajaan dan keluarga mereka akan menyokong Barisan Nasional pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Menurut Pengerusi Penaja Gabungan Tanah Air (GTA) itu, sokongan tersebut diberikan selepas kerajaan yang dipimpin oleh BN akan menaikan gaji pegawai kerajaan dalam Bajet 2023 tidak lama lagi.

“Dahulu jumlah pekerja kerajaan tak sampai satu juta. Dalam jangka masa beberapa tahun sahaja pekerja kerajaan meningkat 1,700,000.

“Gaji pun naik berkali-kali. Akan naik lagi dalam belanjawan baru. 1,700,000 pegawai kerajaan dan keluarga tentu sokong kerajaan,” katanya.

Dr. Mahathir yang juga Pengerusi Pejuang berkata, banyak ‘gula-gula’ akan diberikan dalam Bajet 2023 supaya rakyat memberikan sokong kepada BN dan UMNO.

Menurutnya, parti lawan tidak akan mempunyai peluang untuk membahaskan Bajet 2023 kerana PRU-15 akan dilaksanakan sejurus selepas itu.

“Jangan peduli bulan November banjir besar, angin kencang. Ramai tak boleh undi. Ramai kehilangan rumah. Ramai di tempat tempat tertentu. Ramai yang akan cedera dan mati.

“Okaylah itu masalah mereka. Kerajaan akan tentukan penyokong UMNO boleh undi. Bantuan wang dan makanan boleh diberi,” katanya sinis.

Dalam kenyataan hari ini, Dr. Mahathir tidak terlepas menyebut nama bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang sedang menjalani hukuman penjara.

Beliau mendakwa, Najib berjaya menggunakan Bersatu dan bekas pemimpin PKR untuk mengalahkan Pakatan Harapan (PH) yang menang pada PRU-14.

Dr. Mahathir turut mendakwa Najib telah menjadikan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin dan bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebagai boneka dalam rancangan beliau.

“Najib mengguna ketamakan pemimpin Bersatu dan PKR untuk mengalah PH yang menang. Bersatu yang di-hijack gembira kerana jadi Perdana Menteri. Lepas itu PM Bersatu dijatuhkan oleh UMNO dan UMNO menjadi kerajaan.

“Parti yang ditolak oleh rakyat jadi kerajaan. Sebagai kerajaan, UMNO akan tentukan bila PRU-15 akan diadakan. Mana dia Bersatu. Tidak berkuasa lagikah?

“Dalam PRU-15 pun Bersatu tidak akan menang. Sebab? Tidak dapat sokongan UMNO dan Pas. Inilah nasib parti yang tikam belakang kawan untuk masuk melalui pintu belakang,” dakwa Dr. Mahathir.

Beliau turut mendakwa Langkah Sheraton telah memulakan ketidakstabilan politik dalam negara di mana sebelum ini semua Kerajaan dipilih melalui PRU.

Bajet 2023 akan dibentangkan di Dewan Rakyat Jumaat ini dan terdapat khabar angin bahawa Parlimen akan dibubarkan selepas itu bagi mengadakan PRU-15. – MalaysiaGazette