Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Sebanyak 16, 163 saman telah dikeluarkan ke atas kenderaan yang melanggar lampu isyarat merah dalam iOperasi Khas Lampu Isyarat Merah bermula 15 hingga 30 September lalu.

Setiausaha PDRM, Deputi Komisioner Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin berkata, operasi khas itu telah dijalankan di sebanyak 1,659 lokasi seluruh negara dengan kekuatan seramai 1,541 orang, terdiri daripada 152 pegawai kanan polis dan 1,389 pegawai rendah polis.

“Sepanjang operasi, sejumlah 71,069 buah kenderaan telah diperiksa dan 16,163 saman dikeluarkan di bawah Kaedah 17 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 (Kesalahan Tidak Mematuhi Lampu Isyarat),” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Penunggang motosikal mendahului senarai saman dengan sebanyak 8,211, diikuti pemandu kereta (6,083), lori (528), bas (22 saman), van (264)  dan lain-lain kenderaan  seperti motosikal roda tiga, kenderaan pacuan empat roda, treler dan traktor ((1,055)

Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik juga mengeluarkan sebanyak 24,276 saman bagi lain-lain kesalahan.

“Dalam operasi berkenaan juga, PDRM berjaya membuat enam tangkapan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987, lapan tangkapan di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 dan 13 tangkapan ke atas individu yang memiliki waran tangkap saman trafik.

“Sebanyak 75 buah kenderaan pelbagai jenis turut disita di bawah Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan 1987,” kata beliau.

Operasi itu, katanya, diadakan kerana PDRM memandang serius sikap dan trend pengguna jalan raya yang tidak memberhentikan kenderaan di lampu isyarat.

Justeru, beliau turut menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berhati-hati dan mematuhi isyarat lalu lintas bagi menjamin keselamatan semua pengguna jalan raya. – MalaysiaGazette